SUFIAN
Sudirman Mohd Tahir HIMPUNAN penyanyi lama dan baharu pada konsert Hot Kool Jam 2019 di Stadium Batu KawanPulau Pinangkelmarinberjaya menarik lebih 20 dan 000 penonton.


Malah, pembabitan 11 artis terkenal tanah air itu dianggap penghormatan buat dua stesen radio di bawah Ripple iaitu Hot FM dan Kool FM.

Artis terdiri daripada Ziana Zain, Ella, Ramlah Ram, Datuk Hattan, Siti Nordiana, Khai Bahar, Sufian Suhaimi, Ismail Izzani, Masdo, Neon Band, Haiza dan barisan penyampai kedua-dua stesen radio itu.

Pengurus Besar Kumpulan Audiens dan Pemasaran, Ripple, Anida Tahrim berkata, gabungan semua artis itu menjadi dan memberikan impak luar biasa.

“Dari segi pemilihan artis, kami memang duduk bersama, bincang dan menyenaraikan nama. Kalau ikutkan kami nak panggil lebih ramai lagi tetapi kekangan masa pula.

“Jadi, kami pilih yang agak lama tidak didengari. Apabila mereka bersetuju, ia satu penghormatan buat kami.

“Apa boleh dikatakan, formula ini sangat menjadi kerana semua mereka menampilkan persembahan yang sangat hebat. Malah, kemunculan mereka memang dinanti-nantikan,” katanya.

Anida berkata, pembabitan artis lama itu juga sedikit sebanyak memberi pengalaman baharu buat penyanyi muda.

“Bagi saya, status dan usia pembabitan mereka dalam industri selayaknya dihormati dan disegani. Cara mereka bergaul dan berkomunikasi dengan penonton begitu mengujakan.

“Berbekalkan pengalaman yang ada juga menjadikan mereka penghibur yang terbaik dari dulu hingga sekarang. Banyak yang kami boleh pelajari termasuk juga penyanyi baharu,” katanya.

Menurut Anida, untuk penganjuran tahun depan pihaknya bercadang menambah waktu persembahan.

“Insya-Allah, tahun depan boleh dipertimbangkan untuk dapatkan slot lebih awal iaitu mungkin kita bermula dari tengah hari.

“Kami juga nak beri peluang kepada lebih ramai artis untuk terbabit dalam acara ini. Pada masa sama, kami nak menjadikan Hot Kool Jam platform untuk artis baharu memperkenal dan mengetengahkan bakat mereka,” katanya.


KHAI dan Siti Nordiana

Berlangsung meriah

Bagi Ziana Zain, gabungan artis lama dan baharu pada konsert itu sesuatu yang menarik selain dapat mengeratkan hubungan sesama mereka.

Malah, paling penting bagi Ziana ia dapat menghimpunkan lebih ramai peminat daripada semua penyanyi terbabit.

“Kita tahu setiap artis yang terbabit ada kelebihan masing-masing. Malah, setiap daripadanya ada peminat tersendiri. Jadi, apabila semua datang, itu yang menjadi lebih meriah.

“Pada masa sama, konsert sebegini sebenarnya dapat mengumpul peminat baharu. Mungkin ada antaranya yang tidak pernah mendengar lagu penyanyi lain, menerusi persembahan sebegini mereka baru tahu.

“Bagi saya, persembahan sebegini bagus jika teruskan. Sekali gus memberi peluang untuk artis baharu menimba pengalaman,” katanya.

Pada malam itu, Ziana menyanyikan lagu Sangkar Cinta, Madah Berhela dan Anggapanmu.

Sementara itu, Ismail Izzani menyifatkan kolaborasi artis Hot FM dan Kool FM memberikan satu lagi pengalaman berharga buat dirinya.

“Kebanyakan artis senior terbabit ada yang daripada zaman mak saya. Jadi, satu penghormatan untuk saya dipilih terbabit sama. Bukan senang sebenarnya nak merasai suasana sebegini.

“Terima kasih Hot Kool Jam sebab mengundang saya menjayakan konsert ini. Ia satu lagi pengalaman baharu untuk saya. Semoga acara sebegini diteruskan dan memberi peluang kepada kami sebagai artis baru,” katanya yang menyanyikan lagu Luar Biasa.

Menariknya, Hot Kool Jam 2019 juga menampilkan persembahan daripada barisan penyampai Hot FM dan Kool FM.

Penyampai Hot FM terdiri daripada Shuib, Shuk, Fizie, Zetty, Deen dan Haziq menyanyikan lagu Beribu Batu nyanyian asal Alleycats.

Penyampai Kool FM pula yang terdiri daripada Haiza, Muaz, AG, Rea dan Linda Onn menyanyikan lagu Kill This Love daripada Blankpink dan lagu Fanatik nyanyian bersama Hot FM.

Selain itu, Muaz turut mengotakan janjinya menyanyikan lagu Belaian Jiwa menerusi kempen Muaz Kasi Jadi sepanjang bulan lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Oktober 2019 @ 6:10 AM