Fairuz Zaidan


MELAKA: Sehari selepas melancarkan mogok, penunggang perkhidmatan penghantaran makanan foodpanda di negeri ini mencapai kata sepakat untuk mencuba skim pembayaran baharu yang diperkenalkan syarikat berkenaan.

Difahamkan, kira-kira 80 peratus daripada keseluruhan 220 penunggang foodpanda di Melaka, meneruskan perkhidmatan penghantaran makanan itu seperti biasa, semalam, sekali gus meredakan ketegangan susulan bantahan terhadap skim pembayaran baharu yang berkuat kuasa kelmarin.

Wakil penunggang foodpanda Melaka, Abdul Hadi Abdul Malik, 24, berkata keputusan untuk mencuba skim pembayaran baharu itu dicapai susulan daripada perbincangan lanjut antara wakil foodpanda Melaka dengan pihak pengurusan syarikat itu, kelmarin.

“Hari ini tempahan sudah kembali seperti biasa. Majoriti penunggang foodpanda juga mahu cuba dahulu manfaat skim pembayaran baharu serta insentif tambahan ditawarkan dalam tempoh beberapa minggu ini.

“Kita bersyukur kerana syarikat pengurusan foodpanda sedia mendengar permasalahan dan kami juga komited untuk menjayakan skim baru berkenaan,” katanya ketika dihubungi semalam.

Mengulas lanjut, Abdul Hadi berkata, dia bersama lima lagi wakil foodpanda Melaka hadir pada pertemuan dengan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang mengaturkan sesi dialog bersama kakitangan foodpanda di kediamannya di Petaling Jaya, Selangor, jam 9.30 malam tadi.

Kelmarin, kira-kira 50 penunggang syarikat foodpanda di negeri ini melancarkan mogok selama sehari bermula 8 pagi sebagai membantah pelaksanaan skim pembayaran baharu diperkenalkan syarikat itu kepada semua penunggangnya di luar Lembah Klang.

Bantahan itu dibuat selepas mendakwa pelaksanaan skim pembayaran baharu itu akan menjejaskan sumber pendapatan penunggang, selain dibuat tanpa perbincangan, sekali gus menuntut syarikat berkenaan mengembalikan semula bayaran RM4 sejam yang selama ini dinikmati oleh mereka.

Sementara itu, Syed Saddiq dipetik sebagai berkata, pengurusan foodpanda memberi komitmen untuk menilai semula keputusan syarikat itu jika ia mendatangkan kesan buruk kepada pekerjanya.

Perkara itu dimaklumkan Syed Saddiq dalam pertemuan dengan pihak pengurusan syarikat terbabit, pagi semalam.

“Saya bangkitkan isu kelangsungan hidup pekerja penghantaran terutama selepas pelaksanaan skim pembayaran baharu.

“Mengapa wujud skim pembayaran berbeza untuk Lembah Klang dan kawasan lain seperti Johor, Pulau Pinang dan negeri lain,” katanya menerusi ciapan Twitter rasminya, semalam.

PENUNGGANG foodpanda berpiket di hadapan ibu pejabat foodpanda, Jalan Chan Sow Lin.

‘Rider’ hilang punca pendapatan

SEREMBAN: “Ada rider yang bekerja sepenuh masa dan menjadi sumber pendapatan utama menyara keluarga,” kata pekerja penghantar sambilan syarikat penghantaran makanan dalam talian foodpanda, Mohd Asrolnizam Mohidin, 24.

Mohd Asrolnizam berkata, tindakan menghapuskan bayaran upah mengikut jam sebanyak RM4 sejam menyebabkan sebahagian besar penghantar makanan hilang punca pendapatan.

Katanya, skim gaji baru yang ditawarkan itu menyebabkan pekerja tidak dibayar gaji asas dan hanya dibayar mengikut pesanan yang diterima.

“Situasi di Seremban ketika ini tidak seperti dulu apabila semakin ramai rider foodpanda muncul.

“Jika dahulu kami boleh mendapat tiga hingga pesanan dalam masa sejam, namun kini dengan bilangan rider yang semakin ramai, kami susah untuk menerima pesanan,” katanya kepada Harian Metro, semalam.

Kira-kira 60 pekerja penghantar foodpanda mengadakan mogok membantah skim pembayaran baharu di Dataran Centrio, Seremban 2 di sini, malam kelmarin.

Mereka berkumpul dan dalam masa sama enggan mengambil sebarang pesanan daripada pelanggan meskipun berada dalam waktu bekerja.

Mohd Asrolnizam berkata, tindakan itu sebagai membantah skim gaji baru yang menghapuskan bayaran asas bekerja RM4 sejam sebaliknya meningkatkan insentif pesanan antara RM4.50 hingga RM7 untuk setiap pesanan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Oktober 2019 @ 5:50 AM