MD Dali menegaskan pihaknya mengenalpasti beberapa kelemahan yang perlu diperbaiki oleh pengadil.
MD Dali menegaskan pihaknya mengenalpasti beberapa kelemahan yang perlu diperbaiki oleh pengadil.
Oleh Syazwan Msar


Mutu pengadilan yang semakin meruncing menyebabkan Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak menolak kemungkinan menggunakan Video Bantuan Pengadil (VAR), musim depan.

Pengerusinya, Md Dali Wahid berkata, perkara terbabit akan dibincangkan dan diperhalusi dengan lebih terperinci sama ada penggunaan VAR dapat menyelesaikan masalah atau sebaliknya.

Beliau berkata, walaupun pada masa ini tiada perancangan untuk menggunakan VAR pada perlawanan penting seperti final Piala Malaysia, namun perkara terbabit antara alternatif untuk mengelak pengadil daripada membuat keputusan meragukan sekali gus menimbulkan rasa tidak puas hati.

“Penggunaan VAR perlu diperhalusi dan dibincangkan secara menyeluruh dengan keputusan terbabit akan ditentukan sekretariat FAM.

“Namun, saya tidak menolak kemungkinan penggunaan VAR pada musim depan jika mampu membantu pengadil membuat keputusan,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, semalam.

Jawatankuasa Pengadil FAM mengaku bahawa terdapat kecuaian di pihak penolong pengadil pada perlawanan suku akhir kedua antara Perak dan Selangor di Stadium Shah Alam, baru-baru ini.

Penolong pengadil terbabit, Azman Ismail, dikenakan penggantungan manakala pengadil, Suhaizi Shukri mungkin hanya diberi amaran kerana mutu pengadilannya mendapat markah tinggi dalam laporan penilaian.

Jawatankuasa itu yang meneliti video perlawanan kedua-dua pasukan, mendapati ia tidak membantu mereka untuk menentukan sama ada gol jaringan Khyril Muhymeen Zambri ofsaid atau tidak.

Selain itu, Md Dali berkata, pihaknya mengenalpasti beberapa kelemahan yang perlu diperbaiki oleh pengadil bagi mengelak melakukan keputusan meragukan.

“Kita sudah kenal pasti kelemahan terbabit. Antaranya pengadil tidak konsisten dan kurang berkeyakinan terhadap tugasan mereka. Bagi mengatasinya, kami akan mengadakan kursus bagi memantapkan lagi pengadil seterusnya memastikan mereka lebih berkeyakinan dan mampu membuat keputusan lebih tepat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Oktober 2019 @ 6:00 AM
Digital NSTP Subscribe