SISSY terima keadaan dengan hati terbuka tapi jadi kejutan buat keluarga.
Oleh Norhayati Nordin


MESKIPUN mengambil masa enam tahun untuk membuktikan bakatnya, penantian itu berbaloi buat bintang muda, Sissy Iman, 24.

Dalam tempoh itu, Sissy berjaya melonjakkan graf karier seninya sebagai penyanyi, pemuzik, komposer, guru vokal, pelakon dan pengacara.

Umpama sudah ‘pukul rata’ dalam pelbagai cabang seni, Sissy atau nama sebenar, Sissy Imann Mohammad Kamil sekadar memanfaatkan peluang.

“Apa yang saya lakukan adalah mencuba setiap peluang yang datang sebaik mungkin. Walaupun bakat masih tidak sebagus mana, saya nekad dan cekalkan hati untuk mencuba.

“Cabaran utama sudah tentu boleh atau tidak melakukannya. Setakat ini, syukur semuanya dipermudahkan Allah SWT dan lancar,” katanya.

Melihat pencapaian dirinya yang sudah mampu terbang tinggi, Sissy berkata dia gembira dapat berkongsi kejayaan itu dengan keluarga.

“Sebenarnya, saya gigih berusaha selagi ayah bonda masih sihat. Ini kerana ke mana saja saya pergi pasti ditemani mereka.

“Apabila mereka ada di sisi, saya sangat selesa. Oleh itu, saya tidak akan lepaskan peluang yang datang untuk kami berkongsi nikmat itu bersama-sama,” katanya.


SISSY Iman. FOTO: Halimaton Saadiah Sulaiman

Mengulas dirinya yang mula dikecam warganet selepas tular video menari dengan baju kelawar, Sissy berkata, perkara itu lumrah kerana tidak semua orang menyukainya.

“Sebagai selebriti saya sedar bukan semua tindakan disukai orang. Saya pun tak sangka video itu mencecah ratus ribu tontonan di Instagram (IG).

“Saya sekadar suka-suka kongsi video itu. Tidak ada niat langsung untuk popular dan tularkannya. Namun, saya akui perhatian masyarakat itu datangnya kerana orang sudah mula kenal siapa Sissy Iman,” katanya.

Ditanya mengenai gosip yang mula terpalit, Sissy berkata dia dia tidak pasti punca sebenar hingga mengheret namanya sejauh itu.

“Saya sendiri tertanya-tanya bagaimana gosip ini boleh timbul. Dikaitkan pula dengan penyanyi dan komposer berpengalaman, Faizal Tahir yang sudah saya anggap sebagai bapa.

“Walaupun saya boleh terima gosip ini dengan hati terbuka, ia kejutan buat keluarga. Ini kerana bapa saya sentiasa ada menemani dan kenapa terjadi juga?

“Padahal di studio pun, saya jarang bertemu Faizal. Lainlah kalau Mike Chan dan Ezra Kong, memang kami sering bertemu kerana urusan kerja,” katanya.

Sedar dirinya kini sudah keluar dari ‘zon bebas gosip dan cerita sensasi’, Sissy berkata dia perlu lebih berhati-hati pada masa akan datang.

Katanya lagi, jika keluar bersiar-siar di pusat beli- belah tanpa solekan pun, ramai orang sudah kenal dan terus menegurnya tanpa ragu.

Tetap utamakan karier nyanyian

Berganding dengan Radin Era sebagai pengacara di belakang pentas untuk Big Stage musim kedua, ia nyata pengalaman baharu buat Sissy.

Begitu juga kemunculan sebagai watak pembantu, Awin dalam drama Cinta Belum Tamat Tempoh baru-baru ini, Sissy mengakui banyak ilmu baru diperolehnya.

“Saya dapati nak jadi pengacara pun tak mudah. Nak jadi pelakon pun sama. Masih banyak yang perlu saya belajar dan perbaiki.

“Banyak kekurangan dan kelemahan perlu saya atasi. Cuma, saya percaya semuanya mampu diperbaiki melalui pengalaman,” katanya.

Mengulas karier nyanyian, Sissy yang pernah menang anugerah Lagu/OST Pilihan pada kemuncak Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL) 2016 melalui lagu Mungkin Kamu berkata menyanyi dan muzik tetap keutamaannya.

“Saya tetap aktif menyanyi dan bermain muzik. Apatah lagi, masih mendapat tawaran bekerjasama dan terbaharu saya akan mengiringi persembahan nyanyian Datuk Jamal Abdillah.

“Muzik sudah sebati dengan jiwa saya. Walaupun kini menceburi bidang pengacaraan dan lakonan, minat pada nyanyian serta bermain muzik tak pernah pudar,” katanya.

Sissy yang muncul dengan lagu Pesanan Ayahanda dijangka melancarkan lagu baharu yang lebih segar tidak lama lagi. Selain itu, Sissy akan mengacarakan program travelog.

Mengakui jadual kerjanya sangat padat dan tidak mempunyai masa rehat yang cukup, Sissy berkata dia tidak boleh mengeluh kerana itu adalah rezeki daripada Allah buatnya selepas berusaha.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Oktober 2019 @ 5:31 AM