NAQIU buat kemunculan semula selepas dipujuk syarikat pengurusan artis dengan menyertai GV6.
Oleh Sudirman Mohd Tahir


Selepas 12 tahun ‘menghilang’, bekas penyanyi kumpulan remaja popular Boboy, Naqiu kembali ke pentas glamor yang pernah dilalui pada 2001.

Program Gegar Vaganza musim keenam (GV6) bakal menjadi medan penentu kemampuan Naqiu, 33, atau nama sebenarnya Wan Naqiuddin Mohd Najib dalam bidang ini.

Naqiu mengakui, tidak pernah terlintas di fikirannya untuk kembali menyanyi secara profesional.

Baginya, kerjaya sebagai penyanyi kelab dan jauh dari dunia glamor sudah cukup selesa buatnya.

“Sepanjang tempoh 12 tahun ini, saya masih menyanyi tapi di kelab malam seluruh negara, acara korporat dan majlis perkahwinan. Malah, tidak ramai yang tahu saya siapa. Mungkin sebab imej pun sudah berubah ketika itu.

“Kalau nak tahu, saya tidak pernah pun terfikir, malah jauh sekali terdetik untuk membuat kemunculan semula. Saya memang ambil keputusan tidak aktif, tetapi syarikat pengurusan artis Mind Order berjaya meyakinkan dan memujuk saya kembali serta terbabit dalam GV6. Walaupun sebelumnya sudah beberapa kali pihak penerbitan memujuk, saya tetap menolak,” katanya.

Naqiu berkata, sejak pengumuman mengenai penyertaannya dalam program itu, hidupnya kini berubah.

Malah, Naqiu yang pernah berlakon dalam Boboy The Movie pada 2001 dalam proses menyesuaikan diri untuk kembali menerjah populariti.

“Kemunculan kali ini memberikan impak yang luar biasa. Selepas sidang media tempoh hari, hidup saya berbeza. Telefon tak berhenti berdering, pengikut di Instagram meningkat dan imej pun berubah.

“Malah, kalau di tempat kerja orang sudah mulai ambil gambar. Sedangkan dulu tak ada walaupun jumpa setiap hari. Tak sangka dalam tempoh kurang sebulan ini, hidup saya betul-betul berubah.

“Namun, saya masih dalam proses sesuaikan diri semula. Terlalu lama saya tidak berada dalam bidang ini. Pastinya banyak yang berubah,” katanya.

Menurut Naqiu, satu lagi sebab kenapa dia terbuka hati untuk kembali adalah sokongan dan dorongan anggota Boboy sendiri.


NAQIU (tengah) bersma anggota Boboy pada awal kemunculan.

“Mereka sebenarnya yang bagi idea saya menyertai GV. Malah siap paksa lagi dan cakap buat demi mereka. Jadi, ia sedikit sebanyak memberi semangat dan dorongan.

“Insya-Allah, jika saya berjaya diterima dalam GV dan selepas itu saya merancang membuat persembahan ‘reunion’ dengan Boboy. Walaupun kami sering berjumpa, tapi mereka juga sudah tak aktif dalam muzik. Masing-masing ada kerjaya sendiri,” katanya.

Sudah ada 5 anak

Satu lagi persoalan yang perlu didepani Naqiu adalah membabitkan kisah peribadi. Tanpa berselindung, Naqiu mengakui dia sudah berkahwin dan mempunyai lima anak.

Berkahwin sejak lapan tahun lalu, Naqiu dan pasangan dikurniakan dua anak perempuan dan tiga lelaki berusia antara 11 bulan dan tujuh tahun.

“Alhamdulillah, saya sudah ada lima anak. Tahun ini genap lapan tahun kami berkahwin. Saya berterima kasih kepada isteri kerana memberi sokongan penuh.

“Pada awalnya dia bertanya juga sama ada betul atau tidak keputusan saya ini. Sebab dia kenal saya macam mana dan sudah tinggalkan bidang ini.

“Apabila saya kata ya, dia okey dan saya perlu cuba. Mana tahu rezeki saya masih ada dalam bidang ini,” katanya.

Pada konsert minggu pertama yang berlangsung esok, Naqiu akan menyanyikan lagu popular Boboy iaitu Episod Cinta.

Naqiu juga terharu dan bangga apabila sudah mempunyai kelab peminat diberi nama Naqiurious.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Oktober 2019 @ 5:30 AM