TAN Cheng Hoe
Firdaus Hashim


SEPANG: Pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe enggan menekan butang panik dan percaya kekalahan 0-1 di tangan Vietnam pada aksi ketiga Kumpulan G, Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, bukanlah penamat kepada perjuangan skuad kendaliannya.

Sebaliknya, bekas pengendali Kedah itu mahu anak buahnya segera melupakan episod sedih di Stadium My Dinh, Hanoi kelmarin, dengan bangkit memburu enam mata pada dua aksi berikutnya menentang Thailand dan Indonesia di Stadium Nasional Bukit Jalil, bulan depan.

“Sayang sekali sebenarnya kerana kita tak dapat kemenangan atau pungut mata di sana (Hanoi). Aksi semalam (kelmarin) pemain tak beraksi pada tahap sebenar.

“Sudah tentu untuk perlawanan seterusnya... kita kena tingkatkan lagi prestasi. Untuk pastikan kita dapat mata maksimum dalam baki dua aksi, kita harus kekal pada landasan terbaik.

“Apapun saya nak pemain belajar sesuatu dalam permainan dan sudah tentu persediaan terbaik perlu dimanfaatkan kerana bermain di halaman sendiri cukup penting untuk 2019 ini,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semalam.

Skuad negara yang memulakan kempen kelayakan dengan langkah kanan apabila menewaskan Indonesia 3-2 di Gelora Bung Karno, gagal meneruskan rentak itu apabila tumbang 1-2 di tangan Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Bukit Jalil bulan lalu.

Kebangkitan yang diidamkan di bumi Vietnam bagaimanapun dihampakan dengan jaringan tunggal pemain tuan rumah, Nguyen Quang Hai pada minit ke-40 yang kekal hingga ke wisel penamat.

Kekalahan itu nyata mengecewakan pasukan negara yang kini jatuh ke tangga keempat kumpulan dengan hanya memungut tiga mata hasil kemenangan ke atas skuad Garuda.

Ditanya mengenai mutu pengadilan, Cheng Hoe enggan mengulas lanjut sebaliknya lebih berminat untuk memberi fokus kepada perlawanan itu.

“Saya ‘no komen’ mengenai mutu pengadilan. Saya lebih suka fokus kepada perlawanan kerana saya juga selalu memberi nasihat dan pesan kepada pemain. Kita kena fokus pada perlawanan dan tak boleh terlalu memikirkan tentang pengadil kerana sedikit sebanyak ia boleh menganggu emosi kita dalam perlawanan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Oktober 2019 @ 5:31 AM