SEBAHAGIAN cerita dalam lagu itu menceritakan kisah cintanya. FOTO Rohanis Syukri
Ramlah Zainal


CINTANYA terhadap bidang nyanyian masih belum pudar.

Hampir 10 tahun menyepi tanpa lagu baharu, penyanyi dan pelakon jelita Erra Fazira, 45, kembali menyemarakkan pentas nyanyian dengan single terbaharu berjudul Menangkah Cinta khusus untuk mengubat kerinduan peminatnya.

Apa yang mencuri perhatian ramai, video muzik single Menangkah Cinta mendapat sentuhan penyanyi dan komposer terkenal, Hafiz Hamidun dan liriknya oleh Iman Imran menampilkan juara Akademi Fantasia musim kelapan (AF8), Shahir Zawawi.

Menurut Erra, dia percaya sekarang adalah masa yang tepat untuknya kembali dalam bidang nyanyian.

“Saya percaya dengan aturan Allah. Walaupun sibuk berlakon tetapi saya masih merindui bidang nyanyian yang sebati dalam diri sejak dulu lagi.

“Bukan tiada tawaran untuk buat lagu baharu tetapi hati belum terbuka sebelum ini.

“Saya juga pernah bergurau dengan pihak pengurusan hanya akan menyanyi semula jika liriknya ditulis Iman Imran.

“Selepas mendengar lagu Menangkah Cinta ciptaan Hafiz dan liriknya ditulis Iman Imran, hati saya terus terbuka untuk menyanyi semula kerana sudah jatuh cinta pada lagu yang berjaya mencuri halwa telinga ini,” katanya.

Mengenai kerjasama dengan Hafiz pula kata Erra, dia memang peminat penyanyi dan komposer lagu zikir ketuhanan itu.

“Saya seorang yang sangat positif sejak dulu. Sebab itu saya beritahu penulis lirik Iman Imran supaya menghasilkan lirik dan beri suntikan jalan cerita yang positif juga.

“Bagaimana hebat diri kita diuji sehingga jatuh terduduk sekalipun, ia bukan bermaksud pengakhiran dalam kehidupan kerana kita masih ada Tuhan,” katanya.

Bagaimanapun, Erra mengakui dia mengambil masa lebih sebulan untuk membuat persiapan ketika proses rakaman lagu Menangkah Cinta.

“Maklumlah, saya sudah lama tidak merakamkan lagu baharu.

“Saya juga berasa berdebar ketika merakamkan lagu ini.

“Mujurlah, Hafiz banyak membantu dari segi gubahan muzik dan sebagainya untuk memudahkan proses rakaman dan penghayatan lagu ini.

“Pada masa sama, saya juga tidak nafikan sebahagian daripada kisah yang dipaparkan dalam lagu itu menceritakan kisah cinta dan pengalaman sendiri,” katanya.

Erra ditemui pada majlis pelancaran lagu dan video muzik Menangkah Cinta di hotel terkenal di Petaling Jaya, baru-baru ini.

Mengulas penampilan Shahir dalam muzik video pula kata Erra, dia sudah bersedia dengan apa saja persepsi daripada peminat.

Katanya, penampilan Shahir dalam muzik video Menangkah Cinta diputuskan hasil perbincangan pihak pengurusannya, MindOrder Sdn Bhd.

“Sebenarnya, kami masih berkawan dan tidak bergaduh pun walaupun sudah hampir setahun tidak berhubung.

“Saya sangat bersyukur apabila Shahir terima tawaran untuk menjayakan muzik video lagu Menangkah Cinta.

“Kami sudah berkawan lama dan Shahir sangat profesional sekali gus memudahkan proses penggambaran muzik video dijalankan sebelum ini,” katanya.

Berehat berlakon seketika

Selepas kembali daripada mengerjakan haji, Erra memilih berehat seketika sebelum kembali berlakon tahun depan.

Menurut pelakon filem seram Wangi itu, buat masa ini agenda seninya padat dengan mempromosikan Menangkah Cinta.

“Selain sibuk mempromosikan single baharu, saya juga terbabit dengan program All Stars Buka Panggung, minggu kedua di Royal Theatre, Shah Alam.

“Pada masa sama, saya juga perlu memperuntukkan masa berkualiti dengan anak tunggal Engku Aleesya,” katanya.

Ditanya mengenai watak selepas bergelar ‘hajah’ pula, kata Erra, dia sememangnya memilih selepas berhijab.

“Maklumlah, saya sudah 25 tahun berkecimpung dalam bidang seni.

“Pastinya, saya memilih watak lebih sesuai selepas bergelar hajah.

“Namun, saya masih terbabit dalam bidang seni kerana bakat ini anugerah Allah untuk saya menyara diri dan anak,” katanya.

Dalam perkembangan lain, single Menangkah Cinta ‘trending’ di kebanyakan saluran digital muzik.

Klip video lagu diedarkan Sony Music Entertainment Malaysia Sdn Bhd dengan kerjasama Strumhit Entertainment serta MindOrder Sdn Bhd.

Ia juga sudah bersiaran di YouTube dan saluran digital muzik lain ketika ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Oktober 2019 @ 5:01 AM