BERSAMA peserta akhir Big Stage 2019 (dari kiri) Han-Byul, Neeta, Irfan Haris dan Dinda Permata.
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor


PEMENANG tempat ketiga Big Stage 2019, Muhammad Adzrin Amerruddin, 19, menjadikan pentas itu medium terbaik menempa nama sebagai penyanyi popular.

Adzrin berkata, sebaik keluar daripada rancangan realiti itu, dia menerima undangan persembahan di Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang.

Anak jati Kuala Lumpur ini berharap undangan terbabit menjadi titik mula untuk bergerak aktif dalam industri seni tanah air.

Dia yang juga anak bongsu daripada empat beradik berterima kasih kerana diberi peluang menyertai rancangan itu hingga meraih tempat ketiga di pentas final.

“Melalui Big Stage, saya semakin dikenali dan sedang merencanakan beberapa perancangan,” katanya ketika sesi fotografi di Studio The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP), Kuala Lumpur.

Antara perancangan itu, katanya, dia mahu mempromosikan single kedua berjudul Picisan yang kini sedang dihasilkan video muzik.

“Lagu ciptaan Farouk Roman dan lirik oleh Amylea AF itu amat istimewa di hati. Lagu dipersembahkan di pentas final (Big Stage) berkisar mengenai kekecewaan seorang lelaki yang menganggap dirinya tidak berguna,” katanya.

Terdahulu dia memiliki single pertama, Bukan Yang Terbaik yang dimuat naik di YouTube, 25 Mac tahun lalu dan meraih 5.5 juta tontonan.

Katanya, lagu itu berjaya mengumpul 193,000 pengikut di Instagram hingga melayakkannya menyertai Big Stage musim kedua.

Dia yang berketinggian 181 sentimeter berkata, banyak pengalaman diraih sepanjang mengikuti program itu bermula 19 Ogos hingga 5 Oktober lalu.

“Selain mendapat kawan baharu, saya meningkatkan keyakinan diri, menerima teguran membina supaya memperbaiki vokal dan menghafal lirik (lagu) dalam tempoh seminggu. Pengalaman tidak dapat dilupakan adalah menghafal lagu Korea yang tidak pernah dibuat,” katanya.

Kata Adzrin, bukan mudah menguasai lagu dalam bahasa asing hingga membuatkan lidahnya ‘berbelit’.

Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Setiawangsa, Kuala Lumpur ini mahu memperjuangkan genre pop yang sememangnya diminati sejak dahulu.

“Dalam perancangan lain, saya mahu menghasilkan lagu duet bersama penyanyi wanita yang diharapkan memiliki keserasian vokal,” katanya.

Menurutnya, besar harapan supaya lagu Picisan dapat bersaing di Anugerah Juara Lagu (AJL) dan meletakkan namanya setanding penyanyi popular.

“Saya menyasarkan menjadi penyanyi berjaya dan memiliki sebuah album memuatkan 10 lagu yang semuanya sedap didengari. Saya tidak mahu menjadi penyanyi yang sekadar datang dan pergi,” katanya yang turut inginan jadi pelakon.

Dalam pada itu Adzrin mengakui peserta dari Korea Selatan, Han Byul layak memenangi Big Stage 2019 atas kemampuannya menghafal dan mempersembahkan lagu Melayu dengan baik.

“Bagi diri kita sekalipun, bukan mudah menghafal lagu Korea dan daripada situ saya nampak kesungguhan Han Byul,” katanya.

Adzrin yang meminati Fikri Ibrahim, Datuk Jamal Abdillah, Tulus dan Zamani turut berkongsi pengalamannya ketika mewakili sekolah, zon dan negeri dalam acara sukan.

“Sebenarnya sewaktu bersekolah dahulu, saya mewakili Kuala Lumpur dalam bola sepak dan dikir barat selain zon dalam acara badminton. Saya memang aktif bersukan termasuk lompat tinggi, lompat jauh, ping pong dan futsal,” katanya.

Dalam pembabitan dunia seni, Adzrin mendapat sokongan bapanya yang juga anggota di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul dan ibu yang juga bekas anggota tentera.

“Pemangkin untuk saya bergelar penyanyi adalah bapa kerana kami memiliki minat yang sama. Sebelum ini kami sering berkaraoke bersama,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Oktober 2019 @ 6:05 AM