NAIM kini mahu lebihkan tumpuan terhadap nyanyian berbanding lakonan. FOTO: Halimaton Saadiah Sulaiman
NAIM kini mahu lebihkan tumpuan terhadap nyanyian berbanding lakonan. FOTO: Halimaton Saadiah Sulaiman
Oleh Ridzuan Abdul Rahman


SEBUT saja nama Naim Daniel, kita pasti akan mengingati lagu popularnya berjudul Sumpah. Impak lagu ciptaannya bersama Omar K ini ternyata melonjakkan penyanyi yang nama sebenarnya Muhammad Naim Daniel Baharin di mata peminat.

Bagaimanapun, pasti ada yang tidak tahu Naim, 22, terlebih dulu bergelar pelakon sebelum menceburi bidang nyanyian.

“Saya mula aktif berlakon sejak berusia lapan tahun menerusi drama Igauan Semalam. Saya membesar dengan lakonan dan berlakon drama termasuk terbitan Sheila Rusly dan Astro.

“Memang tak pernah terfikir untuk menyanyi. Saya suka menyanyi di set penggambaran tapi ia bukanlah serius,” katanya membuka cerita.

Bagaimanapun, ketika berusia 18 tahun, Naim membuat keputusan melanjutkan pelajaran dalam bidang muzik di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam.

“Saya pasti ramai yang hairan kenapa saya pilih belajar jurusan muzik sedangkan aktif berlakon. Sebenarnya saya nak cuba sesuatu yang berbeza pula.

“Saya sudah terlalu lama fokus terhadap lakonan, jadi ada baiknya pilih bidang yang lain.

“Tak salah rasanya saya cuba jadi serba boleh dalam bidang seni. Alhamdulillah keluarga merestui pilihan saya,” katanya.

Naim berkata, selepas menamatkan pengajian di UiTM, dia mula aktif menyanyi.

“Alhamdulillah saya dapat peluang sebagai artis syarikat World Peace Entertainment dan menghasilkan dua single iaitu Sekali Lagi serta Sempurna.

“Namun, saya belum diterima sepenuhnya peminat dan mencuba lagi dengan single Sumpah. Lagu ini juga dipilih sebagai lagu tema drama Pia yang turut dibintangi saya bersama Zara Zya,” katanya.

Ternyata, drama dan lagu ini mendapat sambutan hebat sekali gus mengangkat nama Naim.

“Saya tak nafikan drama Pia membawa tuah buat saya. Boleh dikatakan dari sinilah segala-galanya bermula.

“Bagaimanapun, ia tak bermakna saya boleh mendabik dada kerana dibuai populariti. Alhamdulillah, saya dibesarkan dalam kalangan pelakon senior.

NAIM popular dengan lagu Sumpah
NAIM popular dengan lagu Sumpah

“Dari situ buat saya belajar banyak perkara dan ambil teladan. Apabila populariti datang, saya tak rasa kena berlagak dan anggap dunia dalam genggaman,” katanya.

Baginya, populariti adalah bonus dan ia perlu dihargai sebaik-baiknya.

“Saya sudah merasai kesusahan. Bagaimana menapak mencari nama dan sebagainya. Apabila berada di puncak, saya kena fokus dengan karier dan menghargai peminat.

“Inilah masanya untuk saya kekalkan kedudukan yang ada kerana bukan senang nak cipta nama. Ia makan masa bertahun-tahun tapi untuk jatuh mungkin dalam masa lima minit boleh terjadi,” katanya yang tetap menganggap dirinya masih baharu di pentas seni.

IKUT PESAN IBU

Walaupun penampilannya mungkin tidak seperti artis lain, Naim bersyukur dengan kelebihan yang ada padanya.

“Saya percaya rezeki tak salah alamat. Kalau nak cakap berkenaan bakat dan rupa memang sangat subjektif. Minat orang berbeza-beza. Apa yang boleh saya katakan, bawa diri baik-baik walaupun kita tak seelok mana.

“Kalau kita disenangi orang dan ada sikap yang baik, insya-Allah orang akan suka. Paras rupa lama-kelamaan akan berubah juga nanti,” katanya.

Naim mengakui di luar kerjaya, dia adalah orang biasa yang suka menjalani kehidupan dengan cara sendiri.

“Sebaik habis persembahan, saya terus balik rumah. Saya tak pandai nak melepak di mana-mana. Saya juga tidaklah tampil terlalu bergaya setiap masa. Namun, ibu selalu berpesan jangan terlalu ringkas atau nampak selekeh.

“Katanya, saya sudah dianggap sebagai duta masyarakat dan perlu tunjukkan contoh yang baik,” katanya.

Selepas Sumpah, Naim kini tampil dengan single terbaharu berjudul Adakah Engkau Menungguku yang menampilkan Tuju K Clique.

“Alhamdulillah lagu ini berjaya dapat ‘trending’ nombor dua di YouTube dan mencatat dua juta tontonan dalam tempoh kurang dua minggu.

“Ramadan lalu saya menghubungi Tuju untuk bekerjasama, tak sangka pula dia sudi. Ia sebenarnya untuk eksperimen tapi tak sangka sambutannya menggalakkan,” katanya.

Penyanyi kelahiran Kuala Lumpur ini berkata, dia kini mahu melebihkan tumpuan terhadap nyanyian berbanding lakonan.

“Buat masa ini biarlah saya fokus dengan nyanyian pula. Bagaimanapun, saya juga suka berlakon dan tak akan tinggalkan bidang ini sepenuhnya.

“Insya-Allah minggu depan saya akan terbabit dengan penggambaran supertelefilem berjudul Kerana Dia Aku Menangis arahan Kabir Bhatia.

“Watak kali ini amat berbeza apabila saya jadi rapper. Tak tahulah sama ada saya boleh buat atau tidak, tapi ia cabaran buat saya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Oktober 2019 @ 5:30 AM
Digital NSTP Subscribe