Mohd Fauzi Abdullah

SELARAS perkembangan teknologi, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memperkenalkan sistem JPJeBid untuk orang ramai membida nombor pendaftaran kenderaan yang lebih mesra pengguna.

Langkah itu  dianggap tepat pada masanya kerana sistem ini menjadi kayu pengukur terhadap keberkesanan proses berkenaan selain menyelesaikan isu berbangkit berkaitan kaedah  digunakan sebelum ini.

Ia juga antara transformasi JPJ ke arah penambahbaikan selain mengambil kira kepentingan integriti.

Kafe Ahad kali ini mewawancara Ketua Pengarah JPJ Datuk Seri Shaharuddin Khalid bagi mengulas pembaharuan dilakukan itu.

Ikuti temu bual beliau bersama wartawan, Mohd Fauzi Abdullah dan jurugambar Mohd Fadli Hamzah.

 


SHAHARUDDIN. FOTO Mohd Fadli Hamzah

Apakah  sebenarnya sistem JPJeBid?

JPJeBid adalah pelaksanaan inisiatif pembangunan Sistem Bidaan Nombor Pendaftaran Kenderaan Dalam Talian yang diperkenalkan JPJ pada 15 April lalu.

Asas atau ilham ke arah JPJeBid ini adalah berdasarkan slogan JPJ tahun ini iaitu ‘Digitalisasi ke Arah Integriti’.

Selain itu, ia susulan daripada ledakan teknologi semasa. Maksudnya JPJ  kini  lebih dinamik dan secara berterusan  melakukan pembaharuan dari semasa ke semasa.

Apakah faktor ke arah pembangunan sistem ini?

Isu dibangkitkan sekarang adalah perubahan dan penambahbaikan tetapi pada masa sama  turut mengambil kira kepentingan integriti.

Maksudnya, kita tidak boleh melakukan perubahan  tanpa memberi perhatian terhadap integriti. Melalui cara itu, kita tidak akan memperoleh kepercayaan rakyat dan apa juga yang dilakukan juga pasti kurang berjaya.

Kita buat sesuatu yang baru tetapi sebenarnya organisasi  diselubungi dengan pelbagai salah laku termasuk perbuatan rasuah dan ‘kautim’.

Justeru, kita  mesti melihat perkara itu  supaya sejajar dengan perubahan dan penambahbaikan tetapi pada masa sama integriti perlu dikekalkan dan tidak diperkotak-katikkan.

Apakah kelemahan sistem dulu dan bagaimana inisiatif JPJeBid direalisasikan?

Sebelum 15 April tahun ini, nombor pendaftaran di JPJ dijual atau dibuka dengan menggunakan bidaan secara konvensional.

Contoh, kali ini JPJ Wilayah (Kuala Lumpur) menawarkan nombor pendaftaran VDV.

Bidaan VDV ini bermula pada 1 haribulan dan ia dibuat sampai dua minggu.

Kita bagi tempoh isi borang dan letak bidaan dengan separuh daripada harga bidaan itu harus diserahkan. Misalnya, jika hendak  membida RM10,000 untuk sesuatu nombor itu, kena buat cek RM5,000 dan masuk dalam tong dan  tunggu tempoh bidaan tamat. 

Kemudian, katakanlah pada 1 haribulan seterusnya (satu bulan proses tender manual) senarai pemenang  dikeluarkan dengan  keputusan  bidaan diletakkan di papan kenyataan dengan semua pembida boleh melihatnya.

JPJ kemudian ambil masa kira-kira sebulan  lagi untuk pulangkan cek bagi mereka yang gagal bidaan dengan  yang menang dapat nombor itu.

Pada masa sama (sistem dulu), wujud aduan orang ramai kata dia tahu dapat nombor itu (menang) tetapi orang dalam JPJ ubah bidaan itu (untuk orang lain, contoh  rakannya).

Katakan orang itu bida RM18,000 tetapi (orang dalam JPJ) letak RM18,200 (untuk rakannya supaya dia menang).

Tetapi, itu semua tohmahan dan tidak ada bukti, cuma ia membuka ruang untuk orang  bercakap (mendakwa).

Jadi, kesannya sistem bidaan dulu menimbulkan  pelbagai kontroversi. Selain itu ia adalah sistem konvensional  yang tidak memberi peluang untuk orang membida.

JPJeBid adalah penyelesai masalah kepada kontroversi ditimbulkan sistem terdahulu?

Oleh kerana berlaku isu sedemikian, dengan adanya modenisasi ini, JPJ melihat kena berubah supaya dapat mengurangkan kontroversi tanpa perlu ada campur tangan manusia.

Sebab tadi, orang kata JPJ ubah  bidaan tetapi  mereka tiada bukti. Saya sebagai Ketua Pengarah  juga tidak boleh kata  perkara itu berlaku atau sebaliknya.

Tetapi kemungkinan itu  untuk berlaku  tetap ada kerana membabitkan manusia.

Disebabkan ada perubahan teknologi jadi JPJ  mengambil kesempatan ini untuk memperkenalkan sistem JPJeBid dengan nombor pendaftaran FC (Putrajaya).

Melalui sistem JPJeBid ini, bidaan boleh dibuat  dari seluruh Malaysia.

Kalau pembida ada di Sabah atau Perlis sekalipun, mereka masih boleh  membida nombor Kuala Lumpur. Dulu jika nak bida nombor Kuala Lumpur, kena  hadir di kaunter (Kuala Lumpur) dan letak borang  bidaan dalam kotak.

Sekarang, duduk di Sabah pun  boleh lakukannya.

Berbeza dulu, dengan sistem JPJeBid ini, ia dipapar di skrin dan nombor itu boleh dibida berkali-kali sehingga berpuas hati.

Bidaan dibuat tanpa tunai  tetapi menggunakan kad kredit atau debit. Jika menang, nilai bidaan itu akan ditolak  100 peratus.

Ini baru dinamakan bidaan, sistem dulu bukan bidaan (letak sekali saja). Melalui sistem ini ia (bidaan) boleh dibuat berkali-kali.

 

Apakah impak pelaksanaan sistem ini?

Orang awam  berpuas hati dengan kecekapan sistem  ini, terutama dari segi penentuan pemenang yang dijalankan  secara adil, telus serta efektif.

Selain itu, ia mengurangkan penipuan orang tengah dan penggunaan sistem  juga mudah kerana boleh diakses di mana saja.

Hasil  pendapatan juga meningkat sehingga 70 peratus  manakala tahap pencapaian perkhidmatan kerajaan setanding dengan negara maju.

Kesinambungan  daripada ini, JPJeBid boleh dijadikan sebagai rujukan atau perintis kepada  projek baru bakal  diperkenalkan iaitu Sistem Lelongan Kenderaan Sitaan Secara Dalam Talian (e-lelong).

Ia sekali gus menjadi satu daripada sistem yang  mampu  melonjakkan integriti JPJ selain sistem yang  boleh memberi manfaat kepada rakyat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Oktober 2019 @ 6:31 AM