MUHAMAD Faisal menunjukkan sarung pistol yang sudah siap. FOTO Hasriyasyah Sabudin
Nor ‘Asyikin Mat Hayin

KETIKA zaman kanak-kanak, Muhamad Faisal Abu Samah, 37, kerap bermain dengan pistol mainan.

Kini, Muhamad Faisal tidak lagi bermain permainan itu sebaliknya dia menghasilkan sarung pistol untuk Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Sejak terbabit dalam bidang ini pada 2008, saya menghasilkan kira-kira 50,000 sarung pistol pelbagai jenis dan saiz.

“Saya lakukannya dengan bantuan adik, (Muhamad Balshe Fauza, 35) di bengkel kami di Rembau, Negeri Sembilan,” katanya.

Menurut Muhamad Faisal, antara sarung pistol dihasilkan syarikatnya ialah Walther P99, Glock 19, 17, 26, Baretta dan Sig Sauer.


KULIT lembu yang digunakan untuk menghasilkan sarung pistol. FOTO Hasriyasyah Sabudin

“Ia dihasilkan menggunakan kulit kambing, lembu, kanvas serta polivinal klorida (PVC),” katanya.

Menurut Muhamad Faisal, proses menghasilkan sarung pistol tidak sukar jika mahir selain tahu tekniknya.

“Ia bermula dengan memotong kulit mengikut ukuran pistol sebelum kulit itu dijahit menggunakan mesin. Sarung pistol turut dipasang dengan aksesori tambahan.

“Saya mengambil masa kira-kira 15 minit untuk menyiapkan setiap sarung pistol,” katanya.


ALAT untuk memotong kulit lembu. FOTO Hasriyasyah Sabudin

Namun Muhamad Faisal berkata, dia tidak dapat mengelak daripada gurauan nakal rakan apabila mereka mengetahui pekerjaannya.

“Saya tidak pernah berkecil hati dengan gurauan itu malah menganggap kerjaya ini eksklusif.

“Selain itu, saya turut menghasilkan aksesori lain seperti sulaman, nombor badan dan tanda nama untuk memenuhi keperluan anggota keselamatan ini,” katanya.

Mengimbau pembabitan dalam bidang berkenaan, Muhamad Faisal berkata, semuanya bermula seawal dia berusia lima tahun.


MEMBUAT ukuran sarung pistol. FOTO Hasriyasyah Sabudin

Katanya, ketika itu dia kerap mengikut bapanya, Abu Samah Abdul Ghani, 67, ke tempat kerja di bengkel membuat sarung pistol.

“Bapa bekerja sebagai pembuat sarung pistol dan ketika kecil, saya gemar membelek sarung pistol dihasilkannya sehingga akhirnya timbul minat untuk menghasilkan produk berkenaan.

“Pada 1995, bapa membuka bengkel menghasilkan sarung pistol di Seri Kembangan, Selangor.

“Setiap kali cuti sekolah, saya membantu bapa sebelum akhirnya dapat menguasai kemahiran membuat sarung pistol,” katanya.


MELAKUKAN kerja-kerja kekemasan. FOTO Hasriyasyah Sabudin

Menurut Muhamad Faisal, selepas tamat pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, dia terus bekerja sebagai pembuat sarung pistol.

“Saya nekad melakukannya sepenuh masa kerana mahu memelihara seni menghasilkan produk ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Oktober 2019 @ 6:45 AM