Zatul Iffah Zolkiply dan Rosyahaida Abdullah

“BUDAK kecil pun nak berceramah” Itu antara kata-kata sinis dilemparkan segelintir individu terhadap Muhammad Abdullah, 26, dari Kampung Kuala Dua, Kuala Berang kerana fizikalnya yang kerdil.

Muhammad atau lebih mesra dipanggil Ustaz Mad Kechik mula mendapat perhatian dan bualan masyarakat kerana menyampaikan ceramah dalam keadaan bersahaja serta santai.

Ternyata percaturan Muhammad bukan setakat menarik perhatian jemaah dewasa malah ceramahnya menerusi laman sosial Facebook dan YouTube turut diminati remaja.

Jika dahulu, sosok setinggi 100 sentimeter ini menjadi perhatian kerana fizikalnya namun kini, dia dikenali kerana kelantangan dan kepetahannya memberikan ceramah.

Menurut Muhammad, dia dilahirkan normal namun akibat diserang penyakit ketika berusia setahun hingga lima tahun, tumbesarannya tidak seperti kanak-kanak seusia.

“Saya sendiri tidak pasti namanya tetapi saya diserang penyakit itu ketika berusia setahun hingga lima tahun dan akhirnya menjadi kerdil.

“Hanya saya yang kerdil manakala adik-beradik lain normal. Saya anggap ini ujian Allah SWT,” katanya yang juga anak keempat daripada enam beradik.


GELAGAT Ustaz Mad Kechik ketika menyampaikan ceramah. FOTO Imran Makhzan

Mengulas mengenai pembabitannya dalam ceramah, Muhammad berkata, ia berlaku secara kebetulan memandangkan dia dan adik-beradiknya diberi pendidikan dalam aliran agama.

“Sejak kecil, ibu, Noor Aini Mamat yang berusia 53 tahun menekankan ilmu agama dan saya diberi kepercayaan untuk menggantikan ustaz atau penceramah ketika belajar di Madrasah Darul Muhajirin Bukit Jong ketika berusia belasan tahun.

“Setiap kali ustaz tiada, saya akan dipilih kerana latar belakang yang ada dan bermula daripada situ, saya mula menyampaikan ceramah namun ia hanya di sekitar Hulu Terengganu,” katanya.

Menurut Muhammad, segalanya berubah apabila ceramahnya dirakam sebelum dimuat naik di Facebook dan YouTube bermula tahun lalu.

“Sejak itu, saya menerima jemputan untuk menyampaikan ceramah bukan setakat di Terengganu malah Kedah, Perak, Kelantan, Selangor dan Pulau Pinang,” katanya yang akan menyambung pengajian di Turki dalam bidang Bahasa Arab bermula bulan ini.

Menurutnya, walaupun ramai yang memberi sokongan kepadanya namun ada juga yang memperkecilkan fizikalnya di laman sosial.

Namun Muhammad menganggapnya sebagai cabaran dalam menyampaikan ilmu.

“Saya tidak tersinggung dengan kata-kata sinis itu. Saya berceramah bukan kerana saya bagus atau berilmu tinggi tetapi saya berpegang kepada konsep sampaikan ilmu walau hanya satu ayat.

“Itu menjadi pegangan saya. Saya tahu masih banyak yang perlu dipelajari namun tidak salah sekiranya saya berkongsi ilmu yang ada kepada masyarakat,” katanya yang pernah menuntut di Kolej Universiti Darul Quran Islamiah (KUDQI), Manir.


USTAZ Mad Kechik diberi kepercayaan untuk menggantikan ustaz atau penceramah ketika belajar di Madrasah Darul Muhajirin Bukit Jong ketika berusia belasan tahun. FOTO Imran Makhzan

Menurut Muhammad, selain berkongsi pengetahuan, dia juga dapat menambah ilmu selain berkenalan dengan ramai individu terdiri daripada pelbagai peringkat usia.

“Saya juga dapat banyak ilmu atau pengetahuan baru sama ada ketika menyampaikan ceramah atau melalui ulasan di media sosial.

“Saya juga bersyukur serta gembira kerana golongan muda turut mendengar ceramah yang saya sampaikan,” katanya ketika ditemui.

Menurut Muhammad, dia juga tidak menyangka akan tular di media sosial dan ia tentunya antara kenangan manis akan dikenang.

Mengenai perancangan masa depannya pula, Muhammad yang pernah bercita-cita menjadi juruterbang menyimpan impian untuk menuntut ilmu di Tanah Suci Makkah dan Madinah.

“Saya dijangka berada di Turki selama setahun dan Insya Allah, jika ada rezeki saya mahu menuntut ilmu di rumah Allah SWT dan Nabi Muhammad SAW,” katanya.

Tak lepas peluang dengar ceramah

“Ustaz Mad Kechik ini jenis selamba. Setiap kali dia bagi ceramah, dia akan cakap tanpa tapis-tapis.

“Selain itu, suaranya yang nyaring dan fizikalnya itu menjadikan dia unik. Itu yang menarik masyarakat terutama golongan muda untuk mendengar ceramahnya,” kata Muhamad Ridzuan Kadir, 49.

Menurut Muhamad Ridzuan, dia sering mengikuti ceramah Ustaz Mad Kechik atau nama sebenarnya Muhammad Abdullah, 26, sekiranya insan istimewa itu menerima jemputan di sekitar daerah ini.

“Kalau jauh-jauh, saya dengar melalui Facebook saja tetapi jika dia berada di Kuala Terengganu, memang saya tidak akan lepaskan peluang untuk mendengar ceramahnya secara langsung.

“Walaupun dia cakap tanpa bertapis, tetapi apa yang diperkatakan atau dibangkitkan Ustaz Mad Kechik itu betul.

“Cara yang digunakan Ustaz Mad Kechik seakan-akan sama Ustaz Azhar Idrus yang lebih santai dan bersahaja. Itu membuatkan kuliah disampaikan mereka tidak bosan,” katanya.


MUHAMAD Ridzuan. FOTO Zatul Iffah Zolkiply

Tambah Muhamad Ridzuan, kehadiran Muhammad juga berjaya menarik golongan muda untuk mendengar ceramah berikutan cara penyampaiannya.

“Orang muda ini, kalau ceramah jenis mendatar akan cepat jemu dan hilang fokus tetapi Ustaz Mad Kechik ada kelainan,” katanya.

Bagi Mohd Shazuan Sulaiman, 32, Muhammad adalah fenomena baharu terutama di Facebook dan YouTube.

“Saya kerap mengikuti ceramah Ustaz Mad Kechik sama ada melalui saluran media sosial atau hadir sendiri ke masjid atau surau yang dikunjunginya.

“Walaupun dia tidak sempurna, tetapi Ustaz Mad Kechik tidak menjadikan kekurangan itu sebagai penghalang buatnya untuk berkongsi pelbagai ilmu agama dengan masyarakat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Oktober 2019 @ 10:00 AM