Redzuan Muharam


MESKIPUN baru berusia 17 tahun, kebolehan Muhammad Zuhairi Mohd Zamri sudah teruji selepas layak mewakili negara dalam beberapa kejohanan bola sepak gaya bebas di Singapura, Indonesia, Thailand dan Amerika Syarikat (AS).

Dek kerana kehebatannya, Muhammad Zuhairi menjadi antara pemain negara yang sering kali berada dalam kelompok tiga dan empat terbaik.

Kebolehannya turut mendapat perhatian warganet selepas video aksinya bermain di taman permainan di Selayang, Selangor, baru-baru-baru ini tular di laman sosial.

Bercerita lanjut, Muhammad Zuhairi berkata, dia mula bermain bola sepak gaya bebas sejak dua tahun lalu dan minat itu timbul selepas melihat video aksi pemain antarabangsa di saluran Youtube.

“Saya memang minat bermain bola sepak tetapi tidak pernah cuba melakukan gaya bebas sehingga menonton video pemain profesional di internet.

“Melihat kehebatan mereka bermain mendorong saya untuk mencuba walaupun bukan mudah untuk melakukannya.

“Saya mengambil masa selama seminggu bagi mempelajari teknik asas, manakala dua bulan untuk benar-benar mahir hasil latihan berterusan di rumah.

“Mulanya, keluarga tidak begitu menyokong tetapi mereka kini sudah faham dengan minat saya,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.


AKSI menarik Muhammad Zuhairi bermain bola sepak gaya bebas. FOTO Supian Ahmad

Menurut Muhammad Zuhairi, sebahagian gaya yang dilakukan dicipta sendiri tetapi ada juga diolah berdasarkan aksi pemain antarabangsa.

Katanya, selain latihan konsisten, penyertaan dalam komuniti bola sepak gaya bebas banyak membantunya belajar dan menimba pengalaman daripada pemain lebih berpengalaman.

“Ketika awal pembabitan, saya lebih banyak meniru aksi dilakukan pemain antarabangsa tetapi lama kelamaan, saya cuba cipta gaya tersendiri.

“Ramai sebenarnya yang lebih hebat tetapi saya cuba bersaing dengan mereka secara sihat menerusi latihan sekurang-kurangnya tiga jam setiap hari, selain menjaga pemakanan dan menyertai kejohanan di luar negara bagi menimba pengalaman.

“Buat masa ini, saya dapat membahagikan masa kerana latihan hanya dilakukan pada sebelah siang, manakala waktu malam digunakan untuk mengulang kaji pelajaran tetapi tahun ini, saya perlu lebih fokus kerana menduduki Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM),” katanya.

Mengenai kisahnya yang tular di laman sosial, Muhammad Zuhairi berkata, dia tidak menyedarinya sehingga dimaklumkan rakan sekelas di sekolah.

“Gembira juga apabila ramai yang memberi komen positif, tetapi ada juga yang mengatakan video berkenaan palsu dan disunting, namun saya tidak ambil serius kerana itu pandangan mereka.

“Misi saya kini adalah memperbaiki prestasi dan jika ada rezeki, saya mahu bertanding di peringkat lebih tinggi seterusnya mengharumkan nama negara,” katanya.


Muhammad Zuhairi memiliki bakat bermain bola sepak gaya bebas. FOTO Supian Ahmad

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Oktober 2019 @ 8:55 PM