ALLAHYARHAM Nirwan
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor


BEKAS anggota 4U2C, Nirwan Irwan atau One II meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL) hari ini akibat penyakit tibi. Rakannya, Datuk AC Mizal berkata, arwah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) di hospital itu kelmarin selepas mengalami batuk berpanjangan.

Katanya, arwah bagaimanapun menghembuskan nafas terakhir pada jam 12.40 tengahari.

"Saya mohon kepada semua peminat mendoakan supaya arwah ditempatkan dalam kalangan orang beriman. Marilah kita sedekahkah al-Fatihah kepadanya," katanya kepada Harian Metro.

Menurut AC, jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam di Keramat, Kuala Lumpur, selepas Asar.

One II menyertai kumpulan rap popular itu pada 1996 selepas berlaku perpecahan anggota asal dan sempat merakamkan album Kembalilah Fiona. Semalam, AC Mizal menerusi Instagram miliknya memaklumkan arwah kritikal dan dimasukkan ke hospital.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Oktober 2019 @ 5:58 PM