PENDUDUK Kampung Pulai bersama saudara-mara bergotong-royong membersihkan kawasan rumah yang terjejas akibat banjir.
Oleh Mohd Sabran Md Sani


BILANGAN mangsa banjir yang ditempatkan di enam pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah ini dan Pontian terus meningkat petang semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar negeri, Tan Chen Choon berkata, sehingga jam 4 petang semalam, seramai 596 mangsa daripada 132 keluarga sudah dipindahkan.

Jumlah ini jelas meningkat berbanding 510 mangsa membabitkan 111 keluarga yang dipindahkan akibat banjir pada jam 9.30 malam kelmarin.

Beliau berkata, kawasan yang terjejas di Pontian bermula petang kelmarin adalah Kampung Parit Basilam, Kampung Maju Jaya, Kampung Melayu Batu 30, Bukit Panjang, Kampung Ulu Pulai dan Kampung Seri Bunian, membabitkan seramai 363 mangsa daripada 84 keluarga.


Katanya, semua mereka ditempatkan di lima PPS Madrasah Parit Basilam, Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Haji Adnan, SK Seri Bukit Panjang, Dewan Masjid Kampung Ulu Pulai dan SK Sri Bunian.

Sementara itu, di Johor Bahru pula, kawasan terjejas akibat banjir kilat adalah Kampung Pulai di Gelang Patah membabitkan 233 mangsa daripada 48 keluarga dengan semua mereka ditempatkan di SK Kampung Pulai.

Katanya, kawasan yang terjejas di Muar ialah Kampung Sari Baru dan Kampung Seri Gelam manakala di Batu Pahat (Kampung Jasa Wangi).

Bagaimanapun, tiada PPS dilaporkan dibuka di sekitar Muar dan Batu Pahat setakat ini.


PENDUDUK Kampung Ulu Pulai membersihkan kediaman masing-masing selepas rumah mereka dinaiki air, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Oktober 2019 @ 6:40 AM