MUHAMMAD Nassar dan Aysar Nasri berangkat ke India, hari ini ditemani kakak dan adiknya. FOTO Ihsan Muhammad Nassar Sanusi
Redzuan Muharam


“SEMOGA Allah murahkan rezeki kalian dan saya minta semua doakan pembedahan kami di sana berjalan dengan lancar,” kata Muhammad Nassar Sanusi, 29.

Muhammad Nassar memberi reaksi itu sebagai tanda terima kasihnya kepada rakyat Malaysia yang menghulurkan sumbangan bagi menampung kos pembedahan pemindahan hati, antara dia dan anaknya, Aysar Nasri berusia tujuh bulan.

Aysar yang dikesan menghidap Biliary Atresia atau penyakit hati kronik sejak 16 Mei lalu dan dijangka akan menjalani pembedahan pemindahan hati di Hospital Max Healthcare, New Delhi, India, minggu depan.

Muhammad Nassar dan anaknya itu sudah berangkat ke India, 8.40 pagi hari ini, bagi menjalani pembedahan pemindahan hati itu dan dia menyeru kepada rakyat negara ini mendoakan keselamatan mereka.

“Doakan pembedahan kami di sana berjalan dengan lancar. Saya berterima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang menghulurkan sumbangan kerana tanpa pertolongan mereka, saya dan isteri tentunya masih mencari-cari jalan untuk merawat anak kami,” kata Muhammad Nassar.

Pada 11 September lalu, portal Harian Metro melaporkan kisah Muhammad Nassar yang memerlukan RM120,000 bagi menampung kos pembedahan bersama anaknya itu.

Muhammad Nassar dan Aysar dijangka berada di India selama dua bulan yakni sehingga tahap kesihatan mereka stabil sebelum kembali semula ke tanah air.


MUHAMMAD Nassar dan anaknya, Aysar bakal menjalani pembedahan pemindahan hati minggu depan di New Delhi, India. FOTO Ihsan Muhammad Nassar Sanusi

Menurut Muhammad Nassar, dia tidak berseorangan sebaliknya pergi bersama kakak, Najihah Salwana, 33 dan adiknya, Nahlah Salwana, 27, yang berperanan sebagai penjaganya serta Aysar sepanjang mereka di sana.

Bercerita lanjut, Muhammad Nassar berkata, dia dan anak bongsunya itu sepatutnya menjalani pembedahan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) semalam, tetapi menukar lokasi pada saat akhir berikutan berat badan Aysar yang tidak mencapai sasaran dikehendaki.

Katanya, keadaan itu menyebabkan PPUM mengambil keputusan untuk menangguhkan pembedahan sehingga Disember atau Januari depan kerana berisiko tinggi jika diteruskan.

“Dua minggu lalu, pihak hospital menghubungi saya bagi memaklumkan mengenai perkara ini dan selepas berbincang dengan isteri serta keluarga, kami sepakat untuk tidak menangguhkannya tetapi meneruskan pembedahan di India.

“Ini kerana tiada jaminan untuk berat badan Aysar naik dalam tempoh terdekat dan keputusan itu dibuat selepas merujuk dengan pakar mengenai risiko yang bakal dihadapi.

“Lagipun, setiap hari saya dan isteri berada dalam kerisauan jika Aysar terkena jangkitan kuman pada hatinya jadi kami serta seluruh ahli keluarga kini hanya mampu berdoa serta menerima apa jua kemungkinan,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Muhammad Nassar berkata, isterinya, Nor Asyifa Mohd Fauzi, 21, memang berhasrat untuk pergi bersama tetapi terpaksa membatalkan niat itu selepas permohonan cutinya ditolak.

Namun, ketiadaan isterinya itu tidak akan mematahkan semangatnya untuknya dan Aysar menjalani pembedahan walaupun terpaksa berjauhan buat sementara waktu.

“Ikutkan, isteri memang mahu ikut sama ke India tetapi apakan daya, tempoh cuti yang dimohon agak lama jadi terpaksa akur dengan keputusan majikan.

“Apa yang lebih penting, pembedahan itu diteruskan dan saya berterima kasih kepada semua rakyat Malaysia,” kata Muhammad Nassar.

Berita berkaitan

Terima kasih rakyat Malaysia

Bantulah Aysar Nasri

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Oktober 2019 @ 10:07 PM