HALIMATUN Saadiah menunjukkan Nur Dina. FOTO Zuliaty Zulkiffli
HALIMATUN Saadiah menunjukkan Nur Dina. FOTO Zuliaty Zulkiffli
Zuliaty Zulkiffli


“ANAK saya demam sejak tiga hari lalu, namun dia nampak aktif lebih-lebih lagi malam sebelum meninggal dunia. Mungkin Allah lebih sayangkan dia,” kata Halimatun Saadiah Mohamad, 40.

Dia adalah ibu kepada bayi perempuan, Nur Dina Kholid, 11 bulan, yang meninggal dunia ketika berada dalam jagaan sebuah taska di Alor Setar, semalam.

Halimatun Saadiah berkata, laporan bedah siasat menunjukkan anaknya bebas daripada sebarang masalah kesihatan yang mungkin menjadi punca kematian bayi itu.

Sehubungan itu, dia menafikan punca kematian anaknya akibat tersedak susu seperti yang dilaporkan media, sebelum ini.

“Anak saya sudah tiga hari demam, pagi semalam sebelum keluar bekerja, saya sudah beri dia minum ubat dan nampak dia aktif.

“Selepas menerima panggilan daripada kakitangan taska, saya bergegas dari sekolah tempat saya mengajar dan membawa anak ke klinik disebabkan lokasi hospital yang agak jauh.

“Ketika bawa dia ke klinik, saya rasa nadi dia masih ada. Doktor kemudian memeriksanya. Namun 45 minit kemudian, anak saya makin lemah dan meninggal dunia di klinik itu,” katanya.

Dia berkata demikian ketika ditemui di rumahnya di Taman Seri Rotan, Jalan Kuala Kubang Rotan, di Alor Setar, hari ini.

Wanita itu berkata, sebelum ini, dia mempunyai empat anak lelaki berusia enam hingga 11 tahun hasil perkahwinan dengan suaminya, Kholid Taib, 41, dan sudah lama menantikan kehadiran cahaya mata perempuan.

Justeru katanya, dia tetap bersyukur meskipun Allah meminjamkan Nur Dina untuk jangka masa yang tidak lama.

“Kehilangannya amat dirasai semua termasuk empat abangnya,” katanya

Jenazah Nur Dina selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Simpang Empat Kuar, di Alor Setar, semalam.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Setar Superintendan Mohd Ridzuan Salleh berkata, berdasarkan laporan awal bedah siasat, mangsa dipercayai meninggal dunia akibat tersedak susu.

Bagaimanapun, pihaknya masih menunggu laporan analisis kimia untuk mengetahui punca sebenar kematian mangsa.

Berita berkaitan

Bayi maut tersedak susu di taska

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Oktober 2019 @ 3:20 PM