RAKAMAN tular ibu Firdaus Wong, See Ah Lin saat melafazkan kalimah syahadah di hadapan pendakwah terkenal itu. FOTO IHSAN FIRDAUS WONG
RAKAMAN tular ibu Firdaus Wong, See Ah Lin saat melafazkan kalimah syahadah di hadapan pendakwah terkenal itu. FOTO IHSAN FIRDAUS WONG
Suraya Roslan


AJAKAN menunaikan umrah antara pembuka jalan buat ibu pendakwah ini memeluk Islam walaupun sudah lapan tahun beliau memujuk wanita tersayang itu.

Pendakwah terkenal, Firdaus Wong Wai Hung bersyukur kerana doa dan impiannya untuk melihat wanita yang melahirkannya memeluk Islam dimakbulkan Allah SWT, Jumaat lalu.

Firdaus berkata, semuanya selepas dia menyatakan hasrat membawa ibunya, See Ah Lin, 61, menunaikan umrah, Disember depan.

“Saya ada bertanyakan kepada ibu sama ada dia mahu mengikut saya ke Tanah Suci atau tidak dan ibu menjawab ‘boleh’.

“Bagaimanapun, saya terangkan Makkah adalah tempat untuk orang Islam saja dan ibu kena menjadi Islam terlebih dulu.

“Namun, ketika itu ibu tidak memberi sebarang jawapan, sehinggalah saya memujuknya dengan mengajaknya ke sana lagi selain perlu memberikan pasport untuk tempahan tiket,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Firdaus berkata, penantian lapan tahun itu akhirnya terjawab apabila Jumaat lalu ibunya melafazkan syahadah di Multiracial Reverted Muslims (MRM) disaksikan beberapa orang lain.

“Ibu memberitahu sudah berfikir semasak-masaknya dan sudah besar untuk membuat keputusan terbaik untuk dirinya.

“Sebagai anak, saya gembira dan bersyukur dengan penghijrahan ibu dan Insya-Allah akan membawanya menunaikan umrah,” katanya.

Bagaimanapun, Firdaus menegaskan tujuan ibunya memeluk Islam bukan disebabkan mahu ke Makkah tetapi dia melihat nilai murni dalam ajaran Islam.

“Ibu ada beritahu saya, dia tertarik dan terbuka hati memeluk Islam apabila melihat layanan baik daripada menantu selain cara cucunya bersalaman dan memeluknya setiap kali bertemu dan berpisah serta orang Islam yang baik di sekelilingnya.

“Malah, perubahan akhlak saya yang menjadi lebih baik berbanding sebelum memeluk Islam antara faktor juga selain kehidupan kami sebagai Muslim yang lebih gembira kerana tahu mengawal tekanan dan bersabar,” katanya.

Ditanya sudah berapa lama beliau memujuk ibunya memeluk Islam, Firdaus berkata, tempoh lapan tahun bukan singkat dan pelbagai ‘strategi’ diatur untuk memujuk ibunya.

“Alhamdulillah sudah lapan tahun, enam tahun pertama saya memeluk Islam saya tidak tahu sangat mengenai Islam dan tidak tahu berdakwah.

“Selepas mula mendalami Islam pada 2011, saya mula berdakwah kepada ibu bapa dan ahli keluarga saya,” katanya.

Akuinya, ketika membantu ibunya mengucap dua kalimah syahadah, perasaan sebak menguasai diri.

“Ini bukan syahadah pertama yang saya kendalikan tetapi adalah syahadah yang paling gementar dan sebak kerana yang mengucap syahadah adalah ibu saya sendiri.

“Alhamdulillah, saya tidak dapat menahan air mata selesai ibu saya mengucapkan dua kalimah syahadah dan memeluknya.

“Saya berharap selepas ini ayah, kakak, abang, anak saudara, keluarga mentua saya juga dikurniakan hidayah oleh Allah SWT,” katanya.

Ditanya kehidupan ibunya selepas memeluk Islam, Firdaus berkata, ibunya sudah mula bersolat dan bertanya mengenai hal Islam kepadanya.

“Ibu saya juga bangun untuk solat Subuh dan ketika ini masih bertatih untuk faham setiap solat mempunyai berapa rakaat dan dia membuat semua solat empat rakaat. Bagi saya ini perkembangan positif untuk seorang mualaf yang baru dua hari memeluk Islam.

“Doakan supaya Allah SWT kurniakan kekuatan kepada ibu saya untuk mengharungi kehidupan sebagai Muslim,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Oktober 2019 @ 10:00 PM