UMMI banyak bergelak ketawa di lokasi elak terbawa-bawa dengan emosi
UMMI banyak bergelak ketawa di lokasi elak terbawa-bawa dengan emosi
Oleh Syanty Octavia Amry


HAMPIR tiga tahun berehat daripada muncul di televisyen, Ummi Nazeera teruja apabila bakal kembali mewarnai hari-hari penonton dengan drama bersiri lakonannya berjudul Suri Katriana.

Tampil sebagai Katriana, ini pengalaman pertama Ummi melakonkan peranan wanita yang mengalami gangguan bipolar. Pastinya ia kelainan yang akan mencantikkan profil seninya.

“Sudah tiga tahun saya tidak muncul dengan drama kerana fokus terhadap keluarga. Sekarang masa sesuai untuk saya kembali bekerja memandangkan anak pun sudah berusia setahun.

“Sebelum ini ada juga tawaran berlakon, tetapi terpaksa saya tolak kerana anak masih kecil dan belum bersedia kembali ke lokasi penggambaran.

“Apabila mendapat naskhah ini, saya teruja kerana selain rindu untuk kembali berlakon dan watak Katriana sangat menarik,” katanya.

CABARAN besar sebagai Katriana. FOTO: Mahzir Mat Isa.
CABARAN besar sebagai Katriana. FOTO: Mahzir Mat Isa.

Berkongsi mengenai Katriana, Ummi, 29, berkata, cabaran besar untuk menghayati watak itu apabila dia perlu banyak bermain dengan emosi dalaman.

“Watak saya akan muncul pada episod ke-10 dan akan menjadi semakin berat pada episod seterusnya.

“Memang penat apabila bermain emosi dalaman, tetapi saya bersyukur dikelilingi pengarah dan gandingan pelakon hebat. Bagi mengelakkan terlalu terbawa-bawa dengan emosi, kami banyak bergelak ketawa di lokasi,” katanya.

Menjadikan orang sekeliling sebagai rujukan, Ummi mengakui mempunyai rakan yang berdepan masalah gangguan bipolar.

“Saya memerhatikan mereka yang ada masalah ini. Daripada situ saya jadikan rujukan untuk menjiwai watak Katrina.

“Macam saya cakap tadi memang penat, tetapi puas hati kerana watak seperti inilah yang saya mahu cuba dan rasanya tidak sukar untuk dilakukan. Ia boleh diibaratkan ‘makanan’ saya,” katanya.

Drama Suri Katriana bakal menemui penonton di saluran Astro Prima dan Prima HD bermula esok (30 Oktober) pada jam 6 petang.

Selain Ummi, antara yang turut membintang drama 49 episod arahan Pali Yahya itu ialah Ernie Zakri, Zulhuzaimy, Nazim Othman, Nadiya Nisaa, Aishah Azman, Rozita Che Wan, Elena Sui dan Hasnul Rahmat.

Rancang tambah ahli keluarga 3 tahun lagi.

Selain drama Suri Katriana, Ummi juga dalam perancangan menerima beberapa tawaran berlakon.

Baginya, sekarang masa untuk kembali aktif apatah lagi suami, Mohd Izzar Anwari Abdul Khani memahami dan tidak pernah menghalang minatnya terhadap kerjaya itu.

“Memang saya merancang apabila anak genap setahun akan kembali aktif berlakon dalam tempoh tiga tahun akan datang. Selepas itu saya akan berehat untuk fokus menambah ahli keluarga pula, insya-Allah. Sasaran saya sebelum 35 tahun untuk ada anak lagi.

“Syukur suami sangat memahami, bagi saya sebagai isteri dan ibu, apabila lakonan sudah sebati dengan jiwa, kita akan kembali ke dunia itu juga.

“Jika dulu walaupun memilih watak, tawaran tak putus, tetapi sekarang saya lihat pada keadaan dan akan lebih fokus jalan cerita, pengarah serta pelakon kerana tidak mahu dikatakan syok sendiri.

“Begitu juga dengan tawaran filem, buat masa ini saya belum jumpa naskhah sesuai. Lagipun, saya mahu watak yang dilakonkan itu penonton suka dan terhibur,” katanya.

Berkongsi perkembangan puteri sulungnya, Ayra Aneesah, Ummi berkata, dia memanjakan si kecil sama seperti ibu lain. Namun, sebagai ibu yang berkerjaya, Ummi turut mengajar anaknya supaya mudah selesa dan mesra dengan orang lain.

“Apabila saya dan suami sibuk, ibu dan pembantu saya akan menjaganya. Memang tidak mengajar anak sentiasa berkepit dengan saya. Saya mahu dia bergaul dengan semua orang, senang untuk dia pada masa akan datang.

“Tidak saya nafikan apabila dengan neneknya dan pembantu, anak jadi lebih manja kerana apa yang dia mahu sentiasa dapat. Sebagai ibu bapa kami perlu peka dan perbetulkan apa yang salah.

“Memang sejak kecil saya akan ajar anak dengan cara mendidik dan diakui saya lebih garang daripada suami,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Oktober 2019 @ 5:20 AM