BERNAMA

DUA Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan seorang ketua pegawai perbadanan didakwa di Mahkamah Sesyen Melaka, hari ini, atas pertuduhan memberi sokongan kepada kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE), pada November tahun lalu.

Tertuduh, G Saminathan, 34; P Gunasekaran, 60, dan S Chandru, 38 didakwa melakukan kesalahan itu dalam satu majlis di Dewan Kasturi Ayer Keroh, Jalan Utama, Taman Ayer Keroh Heights di Melaka, pada 8.30 malam hingga 10.50 malam, 28 November 2018.

Pertuduhan mengikut Seksyen 130J(1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sepanjang hayat atau maksimum 30 tahun atau denda dan boleh dirampas mana-mana harta yang digunakan atau diniat untuk digunakan untuk melakukan kesalahan itu, jika sabit kesalahan.

Saminathan turut didakwa dengan satu lagi pertuduhan memiliki item yang berunsur perbuatan keganasan atau berkaitan dengan kumpulan pengganas LTTE di dalam sebuah telefon bimbit jenama Samsung Galaxy S9+ warna biru gelap di Pejabat EXCO Perpaduan Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna, Jabatan Ketua Menteri, Kompleks Seri Negeri di Melaka, pada 10.25 pagi, 10 Oktober lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda dan dilucutkan mana-mana item itu, jika sabit kesalahan.

S Teran, dibawa ke Mahkamah Sesyen Segamat bagi pertuduhan dikaitkan LTTE. FOTO Adi Safri.
S Teran, dibawa ke Mahkamah Sesyen Segamat bagi pertuduhan dikaitkan LTTE. FOTO Adi Safri.

Di Segamat, seorang penghantar surat didakwa di Mahkamah Sesyen, hari ini, atas pertuduhan memiliki item berunsur perbuatan keganasan atau berkaitan dengan kumpulan pengganas LTTE, awal bulan ini.

S Teran, 38, yang bekerja di sebuah pejabat peguam, di Segamat memahami pertuduhan yang dibacakan terhadapnya dalam Bahasa Melayu di hadapan Hakim Rasidah Roslee.

Tertuduh yang masih bujang dan dijadualkan melangsungkan perkahwinan pada Disember ini didakwa memiliki item berunsur perbuatan keganasan atau berkaitan dengan kumpulan pengganas LTTE itu di alamat 10M, Jalan Genuang, Kampung Paya Pulai, di Segamat, 6.30 petang, 10 Oktober lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda dan dilucutkan mana-mana item itu, jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Oktober 2019 @ 11:42 AM
SUASANA di Mahkamah Melaka. FOTO Khairunisah Lokman.
SUASANA di Mahkamah Melaka. FOTO Khairunisah Lokman.
Kabinet Malaysia 2020