DIANA banyak habiskan masa dengan Muhammad dan Aurora. FOTO Aziah Azmee
Georgie Joseph


OGOS lalu, pelakon Datin Diana Danielle berkongsi mengenai serangan panik dan disahkan menghidap gangguan keresahan. Sudah semestinya perkara itu membimbangkan dirinya.

Diana, 28, tidak menjangkakan terkena serangan terbabit dan memilih untuk mengubah gaya hidup.

Diana berkata serangan itu berpunca daripada kepenatan melampau. Berikutan terlalu kuat bekerja, dia mengakui gaya hidupnya tersasar apatah lagi pada masa sama menggalas tanggungjawab menjaga anaknya, Muhammad, 6, dan Aurora, 4.

“Saya kena sedar diri yang saya bukan berusia 18 tahun lagi. Kudrat saya tidak sekuat dulu. Kalau bercakap soal kerja, memang tidak akan pernah habis dan ia menjadi punca mengapa saya terkena serangan panik. Bayangkan selepas selesai kerja, saya pulang ke rumah dan sambung tugas sebagai ibu.

“Badan saya umpama tiada suis penutup, selain lambat tidur dan suka makan lambat. Saya memang sudah terbiasa sejak zaman muda suka paksa diri bekerja walaupun badan sudah rasa sakit sana-sini. Penat macam mana sekali pun saya tetap kerja sampailah jatuh sakit.

“Bagaimanapun, dulu tiada anak tetapi sekarang sudah ada zuriat dan mereka sedang membesar serta memerlukan perhatian.

“Sekarang, saya tidur jam 11 malam, bangun awal dan badan rasa lebih segar,” katanya.

Sambung Diana, dirinya kini lebih tenang dan dapat mengatasi masalah gangguan keresahan.

Malah, dia bersyukur suami tercinta Datuk Farid Kamil, 38, banyak membantu dan menasihatinya supaya solat setiap kali badan memberikan isyarat serangan itu mungkin berulang.

“Kini saya lebih sensitif dengan badan serta minda. Andai ‘mood’ terganggu, saya akan rehat kerana sedia maklum situasi itu tidak bagus. Saya juga sudah pandai mengenal pasti tanda-tanda serangan itu mungkin berulang.

“Kalau dulu saya selalu paksa diri untuk terus kerja, sekarang tidak lagi.

“Farid selalu ingatkan saya untuk selalu dekatkan diri dengan Allah, minta bantuan daripada-Nya kerana hanya Dia boleh bantu kita. Pesan Farid, kalau penat sangat segeralah solat,” katanya.

Pelakon Gol & Gincu Vol 2 itu juga memutuskan untuk tidak mengambil sebarang ubat bagi mengatasi penyakit itu sebaliknya memilih mengamalkan gaya hidup lebih baik.

“Doktor mengesahkan saya mengalami gangguan keresahan tetapi saya tidak mahu terikat dengan ubat. Ini kerana gaya hidup saya sudah bertukar tiga bulan sebelum terkena serangan itu. Doktor menyarankan supaya saya makan banyak dan tidur ikut masa.

“Menerusi pemeriksaan tiga minggu kemudian, doktor menjelaskan keadaan saya jauh lebih baik dan minta supaya saya mengekalkan gaya hidup itu.

“Alhamdulillah, saya sudah tidak perlu jumpa doktor lagi. Lagipun, kes saya tidak serius dan tiada tanda-tanda kemurungan,” katanya.

Pada masa sama, Diana turut mengulas perihal penyakit mental termasuklah kemurungan dalam kalangan masyarakat yang semakin membimbangkan mutakhir ini.

Pernah melalui sendiri perkara itu, dia menyarankan mana-mana individu yang mengalami tekanan agar kembali kepada fitrah.

“Penyakit mental bukannya gila, cuma tekanan tak dapat berhubung dengan kehidupan dan mungkin seseorang itu menaruh harapan terlalu tinggi terhadap dirinya. Saya sendiri pun terlalu kejar benda yang tak pasti akan dapat sebelum ini.

“Pada waktu itulah kita kena berbalik kepada fitrah dan apa yang ada depan mata kita. Nikmati dan hargai kehidupan sebaiknya. Ramai orang sekarang suka hidup dalam angan-angan dan tidak ukur baju di badan sendiri.

“Mereka kena betulkan semula cara pemikiran. Asalkan sihat, cukup makan, cukup tidur dan menjalani kehidupan dengan gembira tanpa menyusahkan orang lain. Saya sendiri pun pernah menafikan hal itu sewaktu kena penyakit ini dan jauh di lubuk hati saya tahu sebenarnya ia tidak okay,” katanya.

TOLAK WATAK WANITA LEMAH

Kebelakangan ini, Diana tidak lagi aktif berlakon seperti dulu. Si jelita itu mengakui dia harus luangkan lebih masa dengan keluarga meski tawaran membintangi filem tidak pernah putus.

“Komitmen saya terhadap keluarga buat masa ini sangat tinggi. Andai saya abaikan perkara yang satu ini, saya akan menyesal selama-lamanya.

“Insya-Allah, saya akan kembali aktif apabila anak-anak sudah boleh berdikari satu hari nanti.

“Saya bertuah dari dulu sampai sekarang ada saja tawaran menjayakan filem. Malah, saya berpeluang untuk memilih naskhah terbaik,” katanya.

Diana juga gembira apabila masih mendapat kepercayaan untuk membawakan watak penting dalam sesebuah karya. Bagaimanapun, dia tidak akan sesekali menerima watak yang menunjukkan golongan wanita itu lemah.

“Saya memang akan tolak tawaran sebegitu kerana sebagai pelakon saya kena mendidik wanita di luar sana kita sebenarnya tidak lemah dan boleh berdikari.

“Banyak juga dapat skrip wanita yang menunggu untuk diselamatkan hero. Syukur, menerusi Gol & Gincu Vol 2, cuma ada saya dan Ummi Nazeera sebagai watak utama serta tercalon untuk anugerah mengenai pemerkasaan wanita di luar negara termasuklah di Berlin, Jerman,” katanya.

Menafikan dirinya selektif, Diana menegaskan dia tidak mahu buang masa melakukan perkara yang tidak kena dengan jiwanya. Apalagi, dia tidak mahu dua anaknya terabai apabila kerap keluar bekerja.

“Bukan selektif tetapi saya ada dua anak yang masih kecil dan kena ada alasan kuat mengapa perlu keluar bekerja. Daripada buang masa menjayakan karya yang tidak menaikkan semangat saya, baik tunggu skrip yang bagus di mata dan buat saya teruja.

“Barulah berbaloi dan tidak rasa bersalah tinggalkan keluarga untuk bekerja,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 November 2019 @ 5:05 AM