Skip this ad x
JHO Low. FOTO Arkib NSTP
Abdul Rahemang Taiming


NEGARA lokasi Low Taek Jho atau Jho Low, 38, dipercayai bersembunyi enggan memberi kerjasama kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menangkap ahli perniagaan dalam buruan itu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, sebaliknya pihak berkuasa negara itu memberi alasan tidak masuk akal termasuk dakwaan Jho Low sudah membuat pembedahan wajah.

“Alasan yang diberikan kononnya dia (Jho Low) sekarang mengubah rupa, alasan yang diberikan kepada saya dia mungkin sudah menjalani pembedahan mukanya.

“Dia sudah mengubah rupa bentuk mukanya tetapi dia terus berada di negara itu dan mendakwa kononnya dia susah nak dikesan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Surat Penghargaan Ketua Polis Negara (tolak rasuah) di Batalion 24 Pasukan Gerakan Am (PGA) Tawau, hari ini.


ABDUL Hamid. FOTO Arkib NSTP

Turut hadir Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani; Pengarah Jabatan Pengurusan PDRM, Datuk Abd Rahim Jaafar; Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah serta Komander Briged Sabah (PGA) Senior Asisten Mancha Ata.

Mengulas lanjut mengenai laporan terbaharu Jho Low dikesan menggunakan pasport Cyprus, Abdul Hamid berkata, perkara itu bukan baharu kerana ada negara tertentu menjual nilai kedaulatan dengan cara mudah termasuk menjual pasport.

“Ini kerana negara berkenaan memerlukan wang untuk ekonomi dan dia (Jho Low) ini perompak tegar, sudah mengambil kesempatan (eksploitasi).

“PDRM sedang menyiasat perkara ini dan sudah berhubung dengan penguat kuasa antarabangsa dan saya tak perlu sebut siapa dia, untuk menjejaki jika ada harta hasil rompakan wang negara kita dilaburkan atau digunakan untuk membeli apa-apa juga harta di sana,” katanya.

Katanya, polis sedang dalam operasi menjejak ke mana perginya wang dibelanjakan perompak moden itu.

“Dia (Jho Low) memang berada di sana di tempat yang saya sebutkan tadi, dia memang dilindungi, satu pendekatan atau tindakan oleh negara berkenaan yang tidak bertanggungjawab, enggan memberikan kerjasama kepada kita.

“Dalam memerangi kes jenayah, sepatutnya kita dengan mana-mana negara pun kita harus bekerjasama dan bukan bertindak melindunginya sebab kes ada kaitan politik sebelumnya.

“Ini perbuatan jenayah, dia (Jho Low) merompak wang sebuah negara dan dia mendapat perlindungan di sebuah negara dan kita memohon kerjasama untuk menghantar dia balik ke sini.

“Tetapi, dia seolah-olah kebal pula dan mendapat perlindungan daripada pihak berkuasa negara terbabit,” katanya.

Ditanya mengenai sama ada PDRM sudah membuat permohonan ekstradisi terhadap Jho Low, beliau berkata, polis sudah melakukan semua prosedur untuk membawa pulang ahli perniagaan itu.

“Semuanya dah ada, semuanya dah kita buat tetapi kalau pihak itu tidak mahu menyerahkan kepada kita, kita tak boleh nak buat apa.

“Tetapi saya akan dedahkan satu ketika nanti apa yang mereka lakukan satu sifat, sikap, tindakan yang tidak bertanggungjawab.

“Saya bersangka baik dengan semua negara dalam hal membabitkan jenayah, ini bukan ada kena mengena dengan politik, kaum atau agama sebaliknya membabitkan perompak,” tegasnya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 November 2019 @ 3:13 PM