SARAH dan Otto berkenalan ketika sama-sama menuntut di Amerika Syarikat.
Ramlah Zainal


PERTEMUAN semula pada Februari lalu membibitkan rasa cinta antara pelakon dan pengacara terkenal Sarah Hildebrand, 29, dengan teman lamanya, Otto Gillen.

Menurut pelakon kacukan Melayu-Amerika Syarikat ini, dia bertemu semula dengan Otto, 26, ketika melawat bapa tersayang yang kurang sihat di Arkansas, Amerika Syarikat awal tahun ini.

“Sebenarnya kami kenal sejak sama-sama menuntut di sekolah tinggi di Amerika Syarikat, tetapi terputus hubungan apabila saya ikut ibu pulang ke Malaysia.

“Namun, pertemuan semula pada Februari lalu membuatkan kami semakin rapat.

“Ketika itu saya juga baru putus cinta dengan bekas kekasih dan Otto banyak memberikan semangat untuk memulakan hidup baharu,” katanya.

Menurut pelakon yang mencipta nama menerusi drama Pujaan Hati Kanda itu, dia dan Otto sepakat berkahwin selepas berkawan rapat selama lapan bulan.

“Hubungan kami bertukar serius dan akhirnya saling jatuh cinta.

“Ibu merestui hasrat kami untuk berkahwin dan Otto juga dengan rela memeluk agama Islam pada September lalu,” katanya.

Dengan sekali lafaz, Sarah sah bergelar isteri kepada Otto yang berdarah kacukan Filipina-Amerika Syarikat di Masjid As-Sobirin, Lembah Keramat, jam 10.25 pagi Ahad lalu.

Pasangan itu selamat dinikahkan Pendaftar Bahagian Perkahwinan, Perceraian dan Rujuk, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Hilmi Saadan dengan disaksikan bapa saudara pihak perempuan, Mohd Nasir serta Haizairi Hashim.

Pada majlis berkenaan, pihak lelaki menyerahkan mas kahwin RM300 dan sebentuk cincin dengan dihadiri 100 tetamu termasuk ahli keluarga terdekat serta kenalan rapat.

Ditanya mengenai majlis pernikahan yang serba sederhana itu, kata Sarah, dia memang mahu ringkas dan melaksanakan perkara yang wajib seperti dituntut agama.

“Persiapan untuk majlis pernikahan sudah dirancang sejak April.

“Majlis resepsi pula dirancang pada awal tahun depan.

“Pada masa sama, Otto juga baru memeluk Islam dan saya mahu tunjukkan kepadanya agama kita mudah termasuk dalam hal perkahwinan.

“Sebagai isteri, saya juga memiliki tanggungjawab besar untuk membimbingnya mengenai Islam,” katanya.

Mengenai busana majlis pernikahan pula, kata Sarah, dia menggayakan baju rekaan ibunya, Che Arbi Hashim, 66.

“Ibu saya tukang jahit dan saya juga bangga kerana dapat mengenakan baju rekaannya pada majlis pernikahan ini,” katanya.

Otto mahu tiga anak

Bukan saja rela hati memeluk Islam, Otto juga sanggup berkorban meninggalkan kerjaya dan keluarganya di Amerika Syarikat untuk menetap di Malaysia bersama Sarah.

Menurut Otto yang bekerja sebagai pelukis seni halus, hatinya terbuka untuk berkahwin selepas bertemu semula dengan Sarah.

“Saya jatuh cinta dengan Sarah selepas melihat kejujuran dan keikhlasannya menerima diri ini.

“Saya juga berjanji akan mencintai dan menjaga Sarah sebaik mungkin,”katanya.

Mengenai destinasi bulan madu, Otto berkata, mereka merancang bercuti di pulau peranginan di Asia.

“Kami sudah sering ke Amerika Syarikat sebelum ini dan kali ini memilih berbulan madu di Asia pula.

“Namun, kami belum putuskan destinasi itu,” katanya.

Seperti Sarah, Otto juga sudah bersedia untuk menimang cahaya mata.

“Semuanya bergantung kepada rezeki dan kami tidak kisah dapat anak cepat atau lambat.

“Sarah mahu anak lebih daripada satu kerana dia anak tunggal.

“Kalau boleh saya mahu tiga anak untuk melengkapi kebahagiaan rumah tangga,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 November 2019 @ 5:30 AM