SKUAD B-18 negara tiba di KLIA selepas mengharungi aksi kelayakan Kejuaraan B-19 Konfederasi Bolasepak Asia 2020 di Kemboja.
Syazwan Msar


KEJAYAAN pemain skuad Bawah 18 Tahun (B-18) negara melayakkan diri ke pusingan akhir Kejuaraan B-19 Konfederasi Bolasepak Asia 2020 sudah pasti akan menarik minat kelab tempatan untuk menyunting mereka secara serius bagi diserapkan dalam pasukan masing-masing.

Walaupun perkara itu tampak positif, namun timbul kebimbangan jika pemain muda itu akan lebih membarisi bangku simpanan atau lebih buruk diserapkan dalam pasukan belia saja seterusnya akan ‘berkarat’ atau tidak lagi mampu beraksi dengan baik.

Jika perkara itu terjadi, kemungkinan besar akan merencatkan persediaan skuad kendalian Brad Maloney bagi menghadapi pusingan akhir di Uzbekistan hujung tahun depan.

Kebimbangan itu disuarakan oleh pengurus negara Datuk Kamarul Ariffin Mohd Shahar yang mengakui jika mereka kurang mendapat minit perlawanan musim depan kemungkinan menjejaskan momentum dalam mengekalkan prestasi masing-masing ke tahap optimum.

KAMARUL ARIFFIN

“Saya merayu kepada kelab atau pasukan yang mengambil pemain muda ini berikanlah mereka minit perlawanan untuk pastikan prestasi mereka terus meningkat.

“Perkara ini perlu dilakukan demi pembangunan mereka dan jangan letak dalam pasukan bawah umur kerana pemain ini standard Asia yang memerlukan pendedahan lebih meluas,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, beberapa pemain ada memberitahunya akan bermain untuk Selangor, selain kemungkinan menyertai Johor Darul Ta’zim (JDT) musim depan.

“Saya tidaklah bertanya mereka secara serius cuma ada antara pemain menyatakan akan bermain dengan Selangor dan JDT,” katanya.

Malaysia layak selepas muncul juara Kumpulan G di Phnom Penh apabila menang semua empat perlawanan 5-4 ke atas tuan rumah Kemboja, Brunei (11-0), Kepulauan Mariana Utara (10-0) dan Thailand (1-0).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 November 2019 @ 6:30 AM