KARMAINE (kanan) melawat Rahman pada Program Ziarah Kasih di Taman Utama, Pekan Nenas, Pontian.
Mohd Sabran Md Sani

“HARI ini (semalam) ada Mohamad Sabu (Menteri Pertahanan) dan nanti saya bawa isu ini,” kata calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK), Tanjung Piai, Karmaine Sardini, 66, pada Program Ziarah Kasih di Taman Utama, Pekan Nanas di sini, semalam.

Karmaine yang memulakan kempen dengan melawat pesakit uzur, Rahman Hassan, 68, mengangkat isu kesihatan dihadapi pesara tentera berkenaan.

Isu kesihatan Rahman dibangkitkan Karmaine yang mahu membawanya pada sesi pertemuan bersama bekas perajurit di Rimba Terjun.

Katanya, dia menziarahi Rahman serta isteri, Dalihar Ahmad, 63, selepas mengetahui status anggota tentera yang pernah berkhidmat dalam Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD).

“Saya tidak tahu dia bekas perajurit. Petang ini (semalam) ada perjumpaan dengan bekas perajurit di Rimba Terjun diurus bekas perajurit dan Menteri Pertahanan.

“Saya akan bawa nama ini (Rahman) kepada persatuan itu, selain turut ingin tahu dia ahli persatuan atau sebaliknya,” katanya.

Menurutnya, dia bersimpati dengan keadaan bekas tentera yang pernah berkhidmat 13 tahun dengan pasukan itu sebelum bersara pada 1983.

“Saya dapati dia mengalami keuzuran dan dibantu isteri untuk menjaganya termasuk mendapatkan rawatan di klinik mahupun hospital.

“Bahkan dia tiada pencen kerana berhenti awal menyebabkan pasangan suami isteri itu bergantung sumbangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Baitulmal,” katanya.

Selain itu, dia mencadangkan pasangan itu mendapatkan Kad Sihat Johor yang disediakan kepada golongan isi rumah B40.

“Setiap orang diberi peruntukan RM500 setahun dengan menggunakan kad itu,” katanya.

Sementara itu, Dalihar menyambut baik usaha calon PH itu membawa isu kesihatan suaminya.

“Meskipun memperoleh wang bantuan Baitulmal dan JKM, tapi ia sekadar membantu membiayai kos rawatan suami.

“Saya tidak kisah bantuan apa akan diberikan sekurang-kurangnya ada usaha dilakukan untuk kami meneruskan kelangsungan hidup,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan PRK Tanjung Piai
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 November 2019 @ 6:10 AM