AINUR (kiri) mengambil Corn Dog bersama rakannya manakala (gambar kanan) mesej perbualan mereka di WhatsApp yang tular.
Redzuan Muharam


KESUNGGUHAN pelanggan cilik mengumpul wang membeli sosej ‘Corn Dog’ menarik perhatian penuntut universiti, Nur Sakinah Rusly berkongsi pengalamannya berurus niaga dengan kanak-kanak terbabit di Twitter, kelmarin.

Nur Sakinah berkongsi kisah itu dengan memuat naik video mengandungi paparan mesej perbualannya di aplikasi WhatsApp dengan kanak-kanak berkenaan.

Video berkenaan meraih lebih 217,000 tontonan dengan rata-rata warganet memuji Nur Sakinah kerana bersabar melayan karenah pelanggan selain kagum dengan kegigihan kanak-kanak itu mengumpul wang membeli sesuatu diinginkan.

Menceritakan pengalamannya, Nur Sakinah berkata, kanak-kanak yang memperkenalkan diri sebagai Ainur adalah pelanggan termuda sejak menjual ‘Corn Dog’ secara sambilan bersama rakannya, Nurul Syahida Mohd Noh, 23 , setahun lalu.

“Dia (Ainur) menghantar kiriman mesej di Instagram (IG) niaga saya pada minggu lalu sebelum bertanya lebih lanjut melalui WhatsApp.

“Ketika awal perbualan, Ainur memberitahu dirinya baru berusia 11 tahun dan saya melayannya seperti biasa walaupun sedikit ragu-ragu kerana menyangka dia cuba mempermainkan saya.

“Rupanya, dia serius dan mulanya bersetuju membeli dua paket sosej berharga RM30 dan berkongsi alamat tempat tinggalnya untuk berurusan secara tunai (COD) .

“Keesokan hari, dia menghantar kiriman WhatsApp kepada saya untuk meminta maaf dan menunda tarikh COD pada hari lain dengan alasan tidak cukup wang.

“Menurut Ainur, dia hanya ada RM24 dan mahu mengumpul wang terlebih dulu.

“Kesungguhannya membuatkan saya terharu dan akhirnya nekad menjual dua paket sosej dengan harga RM16 saja manakala salah satunya diberi secara percuma,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurut Nur Sakinah, dia sudah bertemu Ainur, Ahad lalu, untuk urusan COD dan terharu ketika menerima wang RM1 berjumlah RM25 daripada kanak-kanak itu.

“Ikutkan, saya mahu menjual dua paket sosej itu dengan harga RM16 tetapi Ainur mahu membayar RM20, namun dia memberi RM25 pula ketika COD.

“Namun, saya memulangkan semula RM5 kepadanya dan saya dapat lihat reaksi Ainur yang amat gembira ketika datang mengambil sosej itu bersama rakannya.

“Selepas pertemuan itu, Ainur ada memberi maklum balas menerusi kiriman WhatsApp dengan menyatakan sosej itu sedap dan mahu membelinya lagi selain berkongsi videonya menikmati makanan itu bersama rakan.

“Sebagai peniaga, saya terharu dan pada masa sama terhibur dengan gelagatnya,” katanya.

Nur Sakinah berkata, niatnya berkongsi kisah berkenaan di Twitter adalah untuk menunjukkan kesungguhan Ainur dan berharap sikapnya itu menjadi ikutan anak muda lain.

“Saya berkongsi kisah itu kerana kagum dengan kesungguhannya tetapi tidak sangka ia mendapat perhatian hingga tular di Twitter dan platform laman sosial lain,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 November 2019 @ 8:30 PM