Mohd Husni Mohd Noor


BERJABAT tangan sudah, peluk pun sudah, cium pipi pun sudah.

Tidak sampai enam jam, ‘drama’ gaduh dan pertikaman lidah membabitkan dua Ahli Parlimen UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman (Pasir Salak) dan Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said (Kuala Krau) berjaya diselesaikan, petang ini.

Kedua-dua mereka sambil diiringi sekumpulan Ahli Parlimen UMNO dilihat berjalan bersama-sama dari jejambat menghubungkan Menara Parlimen ke Lobi Parlimen sambil gelak ketawa, berjabat tangan dan sesi ‘cium pipi’.

Turut serta dalam pertemuan mesra itu adalah Ahli Parlimen Pontian Datuk Seri Ahmad Maslan, Ahli Parlimen Bera Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Ahli Parlimen Tanjong Karang Tan Sri Noh Omar, Ahli Parlimen Padang Terap Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Ahli Parlimen Cameron Highlands Ramli Mohd Noor.

“Everything (semua) is ok. Adik-beradik. All in the family (semua satu keluarga),” ringkas Tajuddin ketika ditemui di lobi Parlimen, kira-kira 6.15 petang tadi.

Sementara itu, Ismail berkata, insiden tengah hari tadi hanya salah faham sahaja.

KONFLIK antara Tajuddin dan Ismail selesai selepas kedua-duanya berdamai. FOTO Mohd Yusni Ariffin

“Dah selesai dah. Salah faham sahaja. Punca tak ada apa, dah selesai. Kita selesai dalam keluarga UMNO,” katanya.

Ditanya sama ada insiden tadi berpunca daripada isu ‘rumah tangga’ (isu dalaman UMNO), Tajuddin berkata, “Hei... bila aku cakap,” katanya sebelum disambut dengan hilai tawa pengamal media yang berada di lobi berkenaan.

Selain itu, Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Jalaluddin Alias turut mencelah dan menyifatkan perdamaian antara Tajuddin dan Ismail sebagai semangat sebenar dimiliki Barisan Nasional (BN).

“Inilah semangat Barisan Nasional (BN),” katanya.

Tengah hari tadi, lobi Parlimen kecoh apabila Tajuddin dan Ismail bertengkar mulut dan hampir bergaduh.

Insiden kira-kira 12.50 tengah hari itu berlaku di hadapan puluhan pengamal media yang berada di lobi berkenaan.

Kejadian bermula apabila Ismail yang juga Ahli Parlimen Kuala Krau dan Tajuddin (Pasir Salak) secara tiba-tiba mengeluarkan pelbagai perkataan cacian dan makian seperti ‘bodoh’, ‘bangang’ dan ‘stupid’ antara satu sama lain.

Malah, kedua-dua mereka juga saling cabar mencabar, termasuk untuk bergaduh dan bertumbuk sebelum mereka dileraikan oleh pengawal keselamatan yang berada di lokasi kejadian.

Berita berkaitan

Sesi 'cium mulut' ditangguh esok

Dua ahli Parlimen UMNO nak bertumbuk [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 November 2019 @ 7:21 PM