Nur Izzati Mohamad


“SAYA tidak ada niat untuk tularkan kisah keputusan yang diperoleh cucu dan gambar itu hanya mahu dijadikan sebagai kenangan,” kata bekas guru, Aishah Mat Akat, 64.

Aishah memuatnaik foto cucu perempuannya, Nur Aqilah Afiah Mohamad Firdaus,12, yang membuka keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di pusara ibunya hingga tular di laman sosial.

Dalam foto berkenaan Nur Aqilah menangis di pusara ibunya yang meninggal dunia dua tahun lalu selepas melahirkan adik bongsu.

Aishah berkata, walaupun keputusan Nur Aqilah tidak seberapa namun apa yang dilakukannya hanya untuk memberi sokongan termasuk menggembirakan cucunya.

“Nur Aqilah ada beritahu dia mahu pergi ke kubur ibu sebaik menerima keputusan UPSR dan semalam dia terus meminta saya membawanya.

AISHAH membawa cucunya, Nur Aqilah Afiah dan Nur Arif Husaini, 9, menziarahi kubur ibu mereka di Tanah Perkuburan Islam Permatang Tok Kandu, Bukit Mertajam. FOTO Shahnaz Fazlie Shahrizal

“Sayu hati melihat dia menangis di pusara ibunya dan tidak semena-mena saya mengambil gambar sebelum memuatnaik di Facebook serta Instagram untuk kenangan.

“Tetapi tidak sangka pula ia tular dan menjadi bualan warganet yang mana saya terharu dengan keprihatinan mereka termasuk yang mendoakan Nur Aqilah serta arwah anak perempuan saya,” katanya.

Nur Aqilah, anak sulung daripada tiga beradik belajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Permatang Tok Kandu.

Sementara itu, Nur Aqilah berkata, dia mulanya berasa malu selepas kisahnya tular dan menjadi bualan oleh rakan serta gurunya di sekolah.

“Saya tahu niat nenek muatnaik gambar kerana mahu menyokong termasuk menggembirakan saya.

“Pada mulanya saya malu selepas orang tahu kisah saya tetapi saya berterima kasih kepada mereka kerana memberikan kata-kata semangat.

“Walaupun keputusan UPSR yang diperoleh tidaklah cemerlang tetapi bagi saya ini adalah permulaan untuk saya buat lebih baik pada masa akan datang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 November 2019 @ 3:29 PM