MAJLIS menyambut kepulangan abu Chin Peng yang mencetuskan kemarahan orang ramai. FOTO MALAYSIAKINI
Mohd Azam Shah Yaacob


KERAJAAN serta masyarakat perlu menghormati perjanjian damai ditandatangani kerajaan dan Parti Komunis Malaysia (PKM) dikenali sebagai Perjanjian Hatyai 1989 serta tidak mempolemikkan isu abu mayat Chin Peng yang dibawa pulang ke negara ini.

Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Noor berkata, menerusi perjanjian dimeterai itu, kerajaan tiada halangan menerima kembali rakyat negara ini yang pernah menganggotai PKM termasuk yang berada di luar negara ketika itu.

Katanya, dengan syarat mereka tidak lagi menyebar atau cuba menghidupkan ideologi komunis di negara ini.

“Apa yang saya katakan adalah fakta sebagaimana termaktub dalam perjanjian dibuat kerajaan di Hat Yai, Thailand pada 2 Disember 1989.

“Ketika itu, perjanjian dibuat wakil kerajaan iaitu Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Wan Sidek Wan Abdul Rahman; Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Haniff Omar dan Ketua Turus Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Hashim Mohd Ali.

“Wakil PKM pula terdiri daripada Pengerusi PKM Abdullah CD; Setiausahanya, Chin Peng dan Komander PKM, Rashid Maidin selain wakil kerajaan Thailand,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau yang turut menjadi sebahagian wakil rundingan perjanjian itu berkata, selepas perjanjian dimeterai dan komunis meletak senjata, lebih 1,000 ahli PKM yang lari ke luar negara dan tinggal di Hong Kong, Vietnam, Thailand serta Indonesia ketika itu pulang semula ke negara ini.

Katanya, malah selepas 30 tahun perjanjian itu ditandatangani semua ahli PKM yang meletak senjata akur dengan perjanjian dan tidak lagi cuba menghidupkannya.

“Malah, pemimpin tertinggi PKM memilih menetap di selatan Thailand seperti Chin Peng juga sudah tidak lagi aktif dengan gerakan komunis.

“Jadi, apabila syarat itu sendiri dipersetujui kerajaan dan PKM, rasanya tidak perlu abu mayatnya disekat masuk ke negara ini kerana ia tidak memberi apa-apa kesan kepada negara,” katanya.

Beliau berkata, kenyataan itu bukanlah bermakna dia menyokong PKM atau Chin Peng, sebaliknya komunis memang musuh nombor satu negara dahulu hingga kini termasuk dirinya yang pernah bertugas dengan pasukan polis.

“Apa yang saya ingin nyatakan adalah jika ketika Perjanjian Hatyai 1989 itu dibuat, kerajaan sendiri membenarkan ahli PKM yang hidup untuk pulang dan sedia memberi pengampunan kepada mereka, takkan pula abu mayat Chin Peng tidak boleh diterima?.

“Lagipun itu hanya abu mayat manusia yang sudah terkubur dengan ideologinya dan kita tidak perlu takut dengannya.

“Apa yang perlu kita gusarkan adalah kegiatan keganasan yang wujud pada masa kini dan memerlukan pemantauan,” katanya.

Sejak dua hari lalu, isu abu mayat Chin Peng yang didakwa diseludup masuk secara rahsia ke negara ini mendapat reaksi pelbagai pihak termasuk masyarakat.

Selasa lalu, portal berita tempatan melaporkan abu mayat Chin Peng atau nama sebenarnya Ong Boon Hua dibawa masuk pulang ke negara ini dua bulan lalu dan ditabur ke laut serta di kawasan hutan banjaran Titiwangsa.

Abu mayatnya dilaporkan tiba di Ipoh pada 16 September lalu dan satu majlis peringatan dihadiri 150 individu diadakan pada hari sama.

Chin Peng meninggal dunia di sebuah hospital di Bangkok pada usia 90 tahun dan kerajaan pada ketika itu memutuskan larangan bagi membawa mayat atau abunya pulang ke Malaysia untuk disemadikan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 November 2019 @ 1:44 PM