Aliff Taufiq dan Maizatul Akmal diselamatkan menggunakan bot selepas terkandas dalam kenderaan pacuan empat roda di Kampung Batu 13, Hulu Besut di Jertih kerana banjir semalam. Foto Ihsan Pembaca
Nurul Fatihah Sulaini

PASANGAN pengantin melakar sejarah mereka tersendiri apabila melalui insiden kenderaan dinaiki mereka terkandas dalam banjir dan terpaksa diselamatkan dengan menaiki bot.

Mereka juga terpaksa melangsungkan pernikahan hanya dengan berkain pelekat dan pakaian biasa apabila busana pengantin dipakai basah dan rosak ketika terperangkap dalam kejadian itu.

Pasangan pengantin itu, Aliff Taufiq Alin Azman, 28, dan Maizatul Akmal Moh Razmi, 29, tular di media sosial sejak semalam apabila insiden diselamatkan daripada sebuah pacuan empat roda ke bot untuk ke lokasi pernikahan di Kampung Batu 13, Hulu Besut di Jertih dirakam penduduk.

Aliff Taufiq berkata, mereka terkandas ketika dalam perjalanan untuk ke majlis akad nikah yang dijadualkan pada 10.30 pagi semalam di Masjid Kampung La.

Menurutnya, pada awalnya rombongan pengantin lelaki dari Machang, Kelantan itu singgah di Masjid Ulul Albab, Seberang Jertih kira-kira 9 pagi.

Katanya, pengantin perempuan bersama beberapa ahli keluarganya juga keluar dari Kampung La untuk menyambut rombongan pengantin lelaki dan bersiap untuk ke majlis akad nikah.

“Kami bergerak ke Kampung La kira-kira 10 pagi menaiki kenderaan sendiri tetapi terkandas di Kampung Pasir Akar sebelum ada yang tawarkan bantuan untuk hantar kami menyeberangi laluan banjir menaiki pacuan empat roda.

“Sekali lagi kami terkandas di Kampung Batu 13 sebelum bantuan bot tiba untuk bawa kami ke kawasan selamat.

“Kami buat keputusan untuk tidak ke Masjid Kampung La tetapi ke rumah keluarga pengantin perempuan di Kampung Panchor.

“Majlis akad nikah sepatutnya dijalankan pada pagi tetapi ditunda selepas solat Asar di rumah itu berdekatan Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Panchor semalam,” katanya ketika ditemui hari ini.

Aliff Taufiq dan isterinya Maizatul Akma. Foto Nurul Fatihah Sulaini

Aliff Taufiq berkata, rombongan pengantin lelaki juga terpaksa bermalam di Kampung Panchor kerana sepanjang laluan dari Kampung Panchor ke Jertih dinaiki air.

“Kami keluar awal pagi ini menaiki trak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan bantuan anggota penyelamat lain antaranya bomba dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) untuk melangsungkan majlis sambut menantu di Machang hari ini,” katanya.

Menurutnya, perancangan untuk melangsungkan majlis perkahwinan ini sudah dibuat sejak awal tahun tetapi tidak sangka tahun ini bencana banjir agak besar.

“Namun kami bersyukur kerana majlis akad nikah selamat diadakan seperti yang dirancang walaupun dalam suasana serba ringkas saya pakai kain pelekat saja ketika akad nikah.

“Kami juga tidak sangka ada yang sempat merakam video kami terkandas di Kampung Batu 13 ketika dalam usaha untuk keluar dari pacuan empat roda masuk ke dalam bot dan video itu tular pula di media sosial,” katanya.

Sementara itu, Maizatul Akmal pula berkata, dia berasa sedih kerana baju pernikahan rosak dan majlis persandingan yang dirancang semalam di Kampung Panchor terpaksa dibatalkan kerana semua laluan ke kawasan itu terputus.

“Saya tidak tahu pun video itu tular sehinggalah adik beritahu. Malu pula bila tengok video itu tetapi itulah kenangan yang tidak mungkin saya lupa.

“Apa pun kami bersyukur kerana sudah selamat bernikah,” katanya yang tidak menyangka kawasannya dinaiki air selepas tiga tahun tidak banjir.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 November 2019 @ 2:50 PM