TERTUDUH diiringi anggota penguat kuasa JHEAT di Mahkamah Rendah Syariah Hulu Terengganu selepas dijatuhi hukuman denda dan penjara sebulan kerana tidak solat Jumaat. FOTO Imran Makhzan
Norizuan Shamsuddin


ENAM lelaki termasuk tiga bersaudara dihadapkan di Mahkamah Rendah Syariah Hulu Terengganu, Kuala Berang, hari ini kerana tidak solat Jumaat, Ogos lalu.

Tertuduh, Muhammad Aliff Fikri A Mazzani, 19, Muhamad Hafizi Abdul Razak, 22, Abdul Malek Mohd, 25, Khairul Azle Abdul Rasid, 35, dan dua remaja berusia 17 tahun masing-masing mengaku salah atas pertuduhan yang dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Syarie Nik Mohd Shahril Irwan Mat Yusof.

Mengikut pertuduhan, enam tertuduh masing-masing didapati dengan sengaja tidak menunaikan solat Jumaat.

Perbuatan terbabit didakwa dilakukan oleh semua tertuduh di kawasan perkelahan Air Terjun Sekayu, jam antara 1 hingga 1.50 tengah hari pada 23 Ogos lalu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 16 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) pindaan 2016 kerana tidak menunaikan solat Jumaat yang memperuntukkan denda maksimum RM3,000 atau dipenjarakan tidak melebihi dua tahun, jika disabitkan kesalahan.

Sejurus pengakuan bersalah direkodkan, mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM2,500 dan sebulan penjara terhadap Khairul Azle iaitu bapa kepada dua anak yang sepatutnya menjadi contoh sebagai ketua keluarga.

Manakala lima yang lain yang masih bujang dijatuhi hukuman denda RM2,400 dan sebulan penjara.

Semua tertuduh turut berdepan hukuman tambahan enam bulan penjara sekiranya gagal membayar denda.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Syarie Nurul Taqwa Hasbul manakala semua tertuduh tidak diwakili peguam.

Berdasar fakta, semua tertuduh ditangkap hasil operasi dilakukan oleh sepasukan pegawai dan anggota penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) di kawasan terbabit.

Operasi terbabit dilaksanakan dengan menempatkan anggota wanita terlebih dulu untuk membuat pemantauan sebelum penguat kuasa lelaki melakukan serbuan sebaik selesai solat Jumaat.

Sewaktu pemantauan dilakukan ada antara tertuduh didapati sedang mandi dan bersantai bersama keluarga di kawasan terbabit sehingga meninggalkan solat Jumaat.

Difahamkan kes berkenaan menjadi yang pertama di negara ini yang dikenakan hukuman denda dan penjara membabitkan kesalahan tidak solat Jumaat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Disember 2019 @ 3:17 PM