TIADA perasaan iri hati.
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor


RAYSHA Rizrose, 23 tidak berkecil hati apabila ada pihak membandingkan dua kakaknya, Uqasha Senrose, 27, dan Nelydia Senrose, 25, yang dikatakan jauh lebih popular berbanding dirinya.

Pemilik nama sebenar Farza Naquraisha Mohd Fariz ini menegaskan, sebagai adik dia sentiasa memberikan sokongan tidak berbelah bahagi terhadap kakaknya.

“Tidak pernah ada sekelumit perasaan iri hati melihat pencapaian dan populariti yang diraih kakak saya.

“Apabila bergelar pelakon pada 2015, saya tidak pernah menyimpan niat untuk bersaing dengan darah daging sendiri atau mengejar populariti,” katanya.

Rasya dalam pada itu menadah kesyukuran kerana dapat membina identiti sendiri sebaik dinobatkan juara Dewi Remaja 2015 dan memberi fokus penuh sebagai pelakon.

“Bagi saya, membina identiti sendiri jauh lebih penting daripada menumpang populariti. Apabila melihat kakak berjaya, saya berasa amat bahagia,” katanya.

Ditanya dirinya yang bebas kontroversi berbanding Uqasha dan Nelydia, pelakon Pinggan Tak Retak Nasi Tak Dingin Raya ini berlapang dada.

“Alhamdulillah, saya bersih kontroversi bukan kerana tidak pernah melakukan kesilapan. Selagi namanya manusia, memang tidak boleh lari daripada salah dan silap.

“Saya percaya keadaan ini berlaku (bebas kontroversi) kerana Allah menjaga aib diri ini,” katanya.

Baru-baru ini keluarga Raysha dikecam warganet sebaik tular video memaparkan Uqasha memeluk dan mencium adik iparnya. Disebabkan itu pengguna laman sosial menyifatkan keluarga mereka terlalu terbuka dan tidak menjaga batas pergaulan.


RAYSHA tidak ada niat bersaing dengan darah daging sendiri.

Menjawab pertanyaan itu Raysha berkata, setiap keluarga memiliki tahap keterbukaan yang berbeza.

“Hanya keluarga kami tahu betapa akrab dan eratnya hubungan bersama ipar duai. Saya berasakan perkara ini tidak perlu dijelaskan.

“Bagi sesiapa yang salah faham dan berfikiran negatif, mereka akan terus menyebarkan kontroversi itu biarpun penerangan sudah diberikan,” katanya.

Dia yang dicalonkan Pasangan Serasi Drama (bersama Idris Khan) pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2017 mengakui seronok apabila ramai ahli keluarga menjadi pelakon.

Selain Uqasha dan Nelydia, dua sepupunya, Octovia Manrose dan Aprena Manrose turut mengikut jejak langkah sama.

“Inilah kemeriahan keluarga kami dan ia berlaku tanpa disangka. Namun, setiap daripada kami mempunyai perjalanan yang tersendiri,” katanya.

Raysha pada masa sama mengakui perjalanan hidup sebagai pelakon amat mencabar dan kerana itu amat menitikberatkan kekuatan mental.

Dalam perkembangan terbaharu Raysha akan menjayakan watak pelakon pembantu dalam drama Cindai yang akan menjalani penggambaran penghujung Januari tahun hadapan.

Katanya, dia menjayakan karakter Yasmin, wanita yang baik dan lemah lembut, tetapi ada niat tersendiri di sebalik kebaikan itu.

Drama itu akan dibintangi Ayda Jebat, Syazuwan Hassan dan Niezam Zaidi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Disember 2019 @ 5:20 AM