LAMBAKAN pendatang asing memenuhi ibu kota. FOTO fail
LAMBAKAN pendatang asing memenuhi ibu kota. FOTO fail
Skuad Khas Harian Metro


MALAYSIA diibaratkan sebagai syurga pendatang rentetan lambakan kumpulan warga asing terbabit yang bukan sahaja menguasai lokasi strategik sekitar Lembah Klang termasuk ibu kota, malah bebas menjalankan perniagaan sah dan haram.

Keberanian mereka menjalankan perniagaan sah seperti kedai runcit, kosmetik dan restoran manakala perniagaan haram iaitu penjualan rokok seludup dan pelacuran menjadikan lambakan pendatang ke negara ini menimbulkan kegusaran masyarakat tempatan.

Onar dilakukan kumpulan pendatang sama ada yang masuk secara sah mahupun haram ke negara ini menyebabkan Skuad Khas Harian Metro melakukan tinjauan di beberapa lokasi tumpuan mereka.

Skuad Khas Harian Metro melakukan tinjauan di lokasi tumpuan pendatang seperti Kota Raya (Jalan Silang), Bukit Bintang, Selayang, Jalan Klang Lama, Cheras, Cyberjaya dan Balakong selepas mendapat aduan awam.

PASANGAN warga Afrika melepak di hadapan kedai serbaneka. FOTO fail
PASANGAN warga Afrika melepak di hadapan kedai serbaneka. FOTO fail

Kebanyakan warga tempatan yang ditemui wartawan mengakui kehadiran pendatang asing dari Afrika, Bangladesh, Myanmar dan Rohingya di kawasan berkenaan menakutkan mereka terutama wanita berbanding kehadiran warga Asia Barat.

Pelajar kolej swasta yang mahu dikenali sebagai Azlee, 32, berkata, kawasan seperti Kota Raya dan Jalan Silang dikuasai sepenuhnya warga Bangladesh.

“Di mana-mana sahaja ada Bangla. Saya lihat mereka bebas buka kedai runcit. Pusat pelacuran pun ada, dah diserbu polis tapi masih beroperasi. Adakah mereka dijaga pihak tertentu, jika tidak kenapa mereka terlalu berani?

“Pihak berkuasa tidak boleh biar, ini merosakkan negara. Pendatang sudah terbabit dalam kegiatan haram termasuklah pelacuran,” katanya.

Tinjauan wartawan di Kota Raya dan Jalan Silang juga mendapati beberapa premis pelacuran dikendalikan warga Bangladesh yang pernah diserbu hasil kolaborasi Harian Metro dan Bahagian Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (D3) Bukit Aman kembali beroperasi seperti biasa.

Seorang wanita tempatan yang enggan dikenali dan bekerja di Jalan Klang Lama berkata, tempat kerjanya dipenuhi warga Afrika.

“Mereka akan beli arak, duduk berkumpul depan kedai dan mabuk. Kamu boleh lihat mereka berkumpul selepas jam 4 petang hingga awal pagi.

“Sangat menakutkan kerana bila mabuk mulalah bergaduh sesama sendiri termasuk mengganggu pelanggan tempatan lain yang mahu membeli barang,” katanya.

Gelagat warga Afrika yang berkumpul di hadapan kedai runcit di Jalan Klang Lama itu turut dirakam jurugambar yang bersama wartawan ketika membuat tinjauan berkenaan.

Amir, 32, peniaga tempatan di Jalan Raja Alang berkata, kawasan berkenaan dikuasai orang Aceh dari Indonesia disebabkan sikap tamak peniaga tempatan sendiri.

“Kedai runcit dan restoran kebanyakannya dimiliki warga tempatan tetapi ia diuruskan warga asing,” katanya.

KUMPULAN warga China rancak berborak di ibu kota. FOTO fail
KUMPULAN warga China rancak berborak di ibu kota. FOTO fail

95.6 peratus pelancong China tiada rekod keluar

Laporan Ketua Audit Negara 2018 Siri 2 mendedahkan seramai 76,258 (95.6%) daripada 79,799 ketibaan pelancong China yang direkodkan melalui sistem MyIMMs tiada rekod tarikh keluar atau meninggalkan negara ini.

Selain itu, 39,806 (96.5%) daripada 41,243 pelancong warga India yang melancong ke negara ini juga tidak direkod meninggalkan negara ini.

Statistik didedahkan Jabatan Audit Negara (JAN) itu antara bukti Malaysia destinasi pilihan warga asing bukan sahaja dalam kalangan etnik Rohingya, Afrika, Myanmar, Indonesia, Vietnam dan Asia Barat sebaliknya juga China dan India.

Malah, segelintir pendatang yang sudah lama tinggal di Malaysia mendakwa negara ini diibaratkan sebagai ‘syurga pendatang’ ketika tinjauan dilakukan wartawan Skuad Khas Harian Metro di sekitar Lembah Klang, semalam.

KETUA Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
KETUA Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Datuk Khairul Dzaimee Daud ketika mengulas mengenai pelancong China dan India yang tidak keluar dari Malaysia selepas masuk ke negara ini seperti didedahkan JAN berkata, masalah teknikal membabitkan kelemahan sistem menyebabkan wujud perbezaan angka dengan Jabatan Audit Negara.

“Ada kemungkinan mereka ini pemegang pas lawatan sosial jangka panjang contohnya isteri atau suami kepada warga tempatan, mungkin juga pelajar, pekerja atau ekspatriat.

“Saya mengkaji lebih lanjut perkara ini. Pihak kami akan mengadakan pertemuan semula dengan Jabatan Audit Negara selepas ini,” katanya.

Menurutnya, berdasarkan semakan JIM, jumlah sebenar pelancong China yang tidak keluar dari negara ini hanya 23 peratus (18,341) dan bukan 95.6 peratus (76,258) seperti yang dilaporkan JAN.

KUMPULAN warga asing bebas berniaga di sekitar Lembah Klang. FOTO fail
KUMPULAN warga asing bebas berniaga di sekitar Lembah Klang. FOTO fail

Salah warga tempatan sewa lesen

“Salahkan orang tempatan yang menyewakan lesen kepada warga asing,” kata Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai lambakan pendatang asing yang dilihat bebas menjalankan perniagaan di sekitar ibu kota.

Menurutnya, peluang diberikan pemilik lesen dengan menyewakan premis kepada warga asing menjadikan aktiviti perniagaan dalam kalangan pendatang di ibu negara semakin sukar ditangani.

“Sepanjang tahun ini, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sudah membatalkan 24 lesen perniagaan (milik warga tempatan) yang disewakan kepada warga asing.

“Semua operasi perniagaan dijalankan menggunakan lesen itu ditutup,” katanya.

Nor Hisham berkata, orang ramai diminta menyalurkan aduan dan maklumat tepat kepada DBKL sekiranya wujud salah laku dalam kalangan pemilik premis perniagaan di sekitar kawasan kediaman atau tempat kerja mereka.

“Prosedur dan garis panduan DBKL menetapkan setiap pemilik lesen perlu mematuhi syarat sah lesen dikeluarkan termasuk tidak menyewakan kepada pihak ketiga.

“Jika mereka ingkar, lesen akan dibatalkan serta merta,” katanya ketika ditemui Harian Metro.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Disember 2019 @ 10:00 AM