SAYA hanya gelak sebab lucu melihat sikap mereka.
Sudirman Mohd Tahir


BELUM pun reda kisah makan nasi kandar dalam kereta Ferrari, nama pelakon cantik, Ruhainies kembali ‘berkicau’ apabila berkongsi anggaran perbelanjaan penjagaan kecantikan RM2,000 sebulan dan memuat naik kekasihnya membeli anggur RM148.

Meskipun pelbagai tanggapan dan kritikan dilemparkan kepada pemilik nama sebenar Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas, ia sedikit pun tidak berbekas di hatinya.

Malah pelakon berusia 27 tahun ini menganggap perkara itu seperti angin lalu. Apatah lagi mereka yang berkata sedemikian hanya berani menulis di laman sosial dan bukannya bercakap depan mata.

Pada masa sama, Ruhainies yang mula dikenali menerusi drama Hello Mr Perfect! sentiasa bersikap positif terhadap semua orang. Paling penting dia enggan terperangkap dalam aura negatif.

“Kalau perasan, saya tidak pernah beri maklum balas terhadap apa saja yang sengaja ditularkan netizen. Saya hanya gelak sebab lucu melihat sikap mereka. Perkara sebegitu pun mereka nak jadikan isu besar.

“Nampak sangat mereka menjadi ‘stalker’ tegar saya di IG. Saya okey dan positif saja. Tidak pernah pun lagi saya menangis atau memberontak disebabkan komen mereka.

“Namun, sekali mereka jentik atau mengaitkan dengan maruah dan keluarga, ketika itu saya takkan berdiam diri. Mungkin saya akan mengikut jejak langkah beberapa rakan artis yang membuat aduan ke pihak berkuasa.

“Bagi saya, netizen tidak boleh diberi muka. Kalau dibiarkan, mereka akan bermaharajalela. Sesuka hati saja menghina dan memfitnah orang lain,” katanya.

Ruhainies berkata, apa yang membuatkan dia masih boleh bertahan dengan permainan media sosial ialah kerana tidak suka ambil pusing.

Menurut Ruhainies, dia sentiasa inginkan kehidupan tenang dengan dikelilingi mereka yang menyayangi dirinya.

“Saya percaya, kalau kita baik dengan orang, mereka akan buat perkara sama. Namun, saya sentiasa pesan kepada diri, baik itu perlu berpada-pada. Memang saya nampak pendiam dan pemalu, tetapi sebenarnya seperti pepatah ‘diam-diam ubi berisi’.

“Cuma, apa yang saya sentiasa lakukan adalah menjalani kehidupan seharian dengan positif. Kalau ada masalah, saya cuba selesaikan. Saya tidak suka bawa pergi kerja atau biarkan ia tertangguh. Nanti hati jadi tak tenang. Nak bekerja pun susah.

“Disebabkan itu pentingnya orang sekeliling yang juga bersikap positif. Tak bermakna saya tidak bergaul dengan orang lain, cuma pastikan ia kena dengan cara,” katanya.

ENGGAN terperangkap dalam aura negatif dengan menganggap komen 'liar' seperti angin lalu

MENJADI IKUTAN

Siapa sangka penampilan dan gaya hidup dipaparkan Ruhainies di IG menjadi rujukan dan ikutan orang lain untuk menjadi sepertinya.

“Sudah lama saya perasan perkara ini, tetapi diamkan saja. Saya anggap ia mungkin kebetulan. Bagaimanapun, apabila membabitkan kehidupan peribadi, ia dikira sudah tahap obses.

“Sejak itu saya mula perhatikan setiap apa yang dimuat naik di IG. Ternyata ia benar. Tidak mengapa, saya anggap dia mengagumi saya. Selagi dia tidak menyusahkan atau mengganggu ketenteraman saya, buatlah apa nak buat pun.

“Kadang-kadang terfikir juga kenapa perlu menjadi orang lain. Kenapa tidak mahu menjadi diri sendiri? Bagi saya, ia lebih baik,” katanya.

Berkongsi mengenai kerjaya seni, Ruhainies sibuk menjalani penggambaran telefilem selain laris mendapat jemputan menghadiri acara jenama terkenal.

Selain itu, Ruhainies juga bersyukur apabila dilantik menjadi duta beberapa jenama terkenal.

Kesibukan itu juga tidak menghalangnya fokus dengan perniagaan kafe Bites Dessert yang beroperasi dua bulan lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Disember 2019 @ 5:20 AM