MOHD Amir mencipta mesin mengopek durian. FOTO Roslin Mat Tahir


USIANYA mencecah 67 tahun namun beliau masih lagi menghasilkan pelbagai inovasi bagi membantu memudahkan kerja seharian selain menjimatkan lagi tenaga juga masa.

Sehingga kini, Mohd Amir Tukiman menghasilkan lebih 30 ciptaan seperti mesin mengupas kelapa, mengopek durian, peraut lidi, pentas bergerak, pengunci tayar kereta dan lain-lain lagi.

Mohd Amir yang pernah menjadi pengarah di sebuah pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor berkata, beliau mula menghasilkan inovasi yang dikenali sebagai Tomat (Teknologi Oleh Mohd Amir Tukiman) sejak 20 tahun lalu.

“Kebanyakan produk yang saya cipta lebih kepada membantu petani dan juga peladang berikutan keuntungan mereka terima sangat sedikit berbanding tenaga yang digunakan.

“Dulu arwah ayah saya juga petani di Sabak Bernam. Jadi saya nampak keletihan dan kepenatan beliau untuk menyara kami sekeluarga.

MESIN mengupas kelapa antara ciptaan Mohd Amir. FOTO Roslin Mat Tahir

“Dari situ, saya berazam bantu golongan petani dan peladang dengan menghasilkan inovasi yang boleh menjimatkan tenaga mereka,” kata bapa kepada enam anak dan lima cucu ini.

Beliau yang juga pemegang Ijazah Sarjana Muda Sains, Universiti Sunderland, United Kingdom dalam bidang kejuruteraan mekanikal berkata, setiap inovasi miliknya dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan supaya ia sesuai digunakan mengikut lapisan umur.

Malah, beliau berkata, peralatan yang diciptanya turut mendapat permintaan daripada industri dan pengilang dari luar negara.

Antaranya adalah Amerika Syarikat, Brazil, China, Indonesia, India, Mexico, Panama, Papua New Guinea dan lain-lain lagi.

Katanya, setiap inovasi atau peralatan yang dicipta akan ditambah baik dari semasa ke semasa seperti mesin mengopek durian.

“Sehingga kini, saya sudah ada tiga alatan buka durian. Ia boleh digunakan menggunakan tangan, kaki atau mesin sepenuhnya.

MOHD Amir menunjukkan mesin membuat minyak kelapa dara. FOTO Roslin Mat Tahir

“Walaupun saya tidak menggemari durian namun saya cipta mesin ini selepas melihat kesukaran untuk membuka raja buah terbabit.

“Malah proses pembukaan buah itu juga tidak bersih dan mengambil masa lama,” katanya.

Bagi alatan meraut lidi pula dia mencipta inovasi terbabit selepas mendapat permintaan daripada rakannya yang mahu mengasingkan lidi daripada daun kelapa dan juga sawit untuk makanan ternakan.

“Dia (rakannya) kata sekiranya lidi daripada daun itu tidak diasingkan ternakan lembu dan kambingnya kurus selain sukar membesar.

“Lidi yang diasingkan itu kemudian boleh dijadikan sebagai penyapu lidi.

“Peraut lidi itu mampu menjimatkan masa berbanding meraut guna pisau.

“Pisau hanya mampu meraut lidi itu kurang daripada 150 sejam, berbanding alatan ini mampu meraut 350 sehingga 400 daun dalam tempoh yang sama,” katanya.

Mohd Amir turut mencipta alatan yang mampu mengasingkan sabut kelapa muda, tua dan juga kering.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Disember 2019 @ 6:45 AM