RUMAH milik mangsa banjir, Latipah yang musnah dalam kebakaran di Kampung Cabang Tiga, semalam.
Syaherah Mustafa


RANTAU PANJANG: “Kami baru saja diuji dengan rumah dilanda banjir, malah belum hilang penat mengemas, sekarang kediaman kami musnah sepenuhnya dalam kebakaran pula,” luah Latipah Saad.

Dalam kejadian jam 2.15 pagi semalam, Latipah, 57, yang tinggal sehelai sepinggang hanya mampu menyelamatkan diri selepas rumahnya musnah dalam kebakaran yang berlaku di Kampung Cabang Tiga, di sini.

Latipah berkata, ketika nyenyak tidur, dia dikejutkan dengan suara suaminya, Abdullah Sulong, 61, yang menjerit menyuruhnya keluar menyelamatkan diri.

“Saya terkejut dan bergegas keluar sebelum melihat api yang sudah marak membakar kediaman saya. Malam tadi, saya tidur sendirian di dalam bilik kerana suami memberitahu dia mahu tidur di ruang tamu.

“Malah, pada jam 2 pagi iaitu beberapa minit sebelum kejadian, saya terjaga untuk ke tandas. Ketika itu keadaan masih seperti biasa sebelum saya kembali ke bilik untuk tidur, mungkin kebakaran ini berlaku tidak lama selepas saya terlelap.

“Alhamdulillah, kami berdua selamat namun suami saya cedera di tangan akibat melecur ketika cuba mengambil kunci kereta,” katanya yang hanya tinggal bersama suami di rumah terbabit kerana enam anak mereka bekerja di luar Kelantan.

Latipah yang sebak ketika dihubungi berkata, dia tidak sempat menyelamatkan harta benda mahupun dokumen penting kecuali sebuah kereta dan motosikal dengan bantuan jiran.

“Nasib baik suami saya tersedar rumah kami terbakar apabila dia mendengar bunyi dentuman yang sangat kuat sebelum terus memanggil saya supaya keluar dari rumah. Dia cuba memadamkan api menggunakan air paip namun tidak berjaya kerana ia marak dengan cepat.

“Tidak sangka baru beberapa hari lepas kami diuji dengan banjir yang melimpah separas satu meter di pekarangan rumah, kini kediaman musnah dijilat api.

“Saya reda dengan apa yang terjadi biarpun sedih mengenangkan nasib kami yang hilang segala- galanya. Sekarang kami terpaksa menumpang di rumah jiran buat sementara waktu untuk berteduh,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba Rantau Panjang, Imran Ismail, mengesahkan menerima laporan pada jam 2.23 pagi sebelum 12 anggota bergegas ke lokasi kejadian.

“Hasil laporan rumah terbabit mengalami kebakaran 90 peratus dan jumlah kerugian masih lagi dalam siasatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Disember 2019 @ 5:50 AM