ROHAYATI (tengah) berpeluang bertemu Asheed daripada kumpulan Def Gab C (duduk, kiri) sambil diperhatikan Mohd Azam (dua dari kanan).
Ahmad Rabiul Zulkifli


KUALA TERENGGANU: Hasrat seorang pesakit angin ahmar untuk bertemu penyanyi kegemarannya, Asheed daripada Kumpulan Def Gab C tertunai apabila dipertemukan pada Majlis Makan Malam Pertubuhan Kebajikan Amal Maaruf Pribumi (KAMP) Bersatu di sini, kelmarin.

Rohayati Omar, 53, dari Kampung Baru Pulau Kambing diserang angin ahmar separuh badan sejak Jun lalu dibawa dengan kerusi roda oleh suaminya, Mohd Azam Endut, 56, ke majlis berkenaan.

“Saya sudah lama meminati kumpulan Def Gab C iaitu sejak 1997 selepas album sulung kumpulan itu berjudul Citarasa meletup di pasaran.

“Lagu Ibu Kota Cinta adalah lagu paling saya minati dan sampai sekarang masih mendengarnya,” katanya ditemui di majlis berkenaan.

Turut hadir, Penasihat KAMP, Azman Muhammad dan Presiden KAMP, Ahmad Sukri Abdullah.

Rohayati berkata, dia teruja apabila diberitahu penyanyi kumpulan Def Gab C iaitu Asheed akan membuat persembahan pada majlis itu.

“Saya memujuk suami ke majlis itu semata-mata untuk mendengar Asheed menyanyi secara langsung.

“Memang berbaloi datang kerana Asheed menunaikan permintaan saya dengan mempersembahkan lagu kegemaran pada majlis berkenaan,” katanya.

Menurutnya, dia tidak pernah terbayang berjumpa penyanyi kegemarannya itu memandangkan dia hanya penduduk kampung dan tidak mungkin mampu ke Kuala Lumpur menyaksikan konsert kumpulan itu.

“Rasa bersemangat apabila berpeluang berjumpa Asheed. Dia banyak memberi kata-kata semangat dan dorongan untuk saya cepat pulih,” katanya.

Manakala, Mohd Azam berkata, dia sedia maklum minat isterinya terhadap kumpulan Def Gab C dan perkara itu mendorongnya membawa isteri ke majlis berkenaan.

“Jika diikutkan memang agak sulit membawa isteri yang tidak mampu berjalan, tetapi mengenangkan hasrat isteri, saya turutkan juga.

“Saya ingin menghiburkannya kerana sebelum ini dia kerap berada di rumah selepas diserang angin ahmar,” katanya.

Sementara itu, Asheed berkata, dia terharu apabila peminatnya yang berkerusi roda sanggup datang menemuinya pada majlis itu.

“Def Gab C sudah lama tidak mengeluarkan album dan tidak muncul di media cetak atau elektronik.

“Oleh itu, saya terkejut kerana ada peminat yang setia meminati dan menyokong karya kami sebelum ini,” katanya.

Menurutnya, pada majlis itu dia sempat menyanyikan tiga lagu yang dipopularkan kumpulannya iaitu Merah, Cinta Sakti dan Ibu Kota Cinta.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Disember 2019 @ 6:01 AM