AUFA yang mengalami masalah pertuturan menyanyikan lagu kegemaran dengan lancar sehingga mengejutkan ahli keluarganya. FOTO IHSAN NURUL ANIS NADIA ZAHAR
Redzuan Muharam


“KAMI semua terkejut melihatnya menyanyi pada waktu itu kerana sebelum ini, dia hanya boleh membuat gerak mulut saja,” kata Nurul Anis Nadia Zahar, 33.

Nurul Anis memberi reaksi itu ketika diminta mengulas mengenai video nyanyian anak sulungnya, Aufa Khairy Abd Khobir yang mendapat perhatian warganet selepas dimuat naik adiknya, Nurul Anis Nazlin di Twitter, tengah hari ini.

Menerusi video berdurasi 91 saat, Aufa Khairy dilihat menyanyikan lagu Rampas nyanyian kumpulan Akim & The Majistret dan aksi bersahajanya menarik perhatian ahli keluarga yang ada bersama memandangkan kanak-kanak berkenaan dikhuatiri mengalami masalah lambat bercakap atau ‘speech delay’ berdasarkan pemeriksaan awal dengan doktor.

Selain warganet, ciapan berkenaan turut mendapat maklum balas vokalis terbabit, Akim Ahmad yang memberi pandangan ‘Beza pandai anak kecil ni tak sama. Ada yang bercakap dulu, atau ada yang dari tingkah laku. Semoga membesar dengan sihat dan menjadi anak yang soleh serta berdedikasi pada ibu bapa’.

Menerusi ciapan berasingan, Akim turut mendoakan Aufa Khairy menjadi anak yang hebat.

Nurul Anis ketika dihubungi Harian Metro berkata, video berkenaan sebenarnya dirakam sebagai kenangan ketika mereka sekeluarga berkumpul di sebuah pusat karaoke, semalam.

Katanya, bukan saja dirinya malah ahli keluarga lain turut terkejut melihat Aufa Khary menyanyikan lagu berkenaan kerana tidak pernah melihat situasi itu sebelum ini.

“Aufa memang minat lagu Rampas tetapi sekadar suka mendengar kerana tidak boleh menyanyi, jauh sekali menyebut perkataan dalam lirik lagu berkenaan.

“Disebabkan itu, saya dan ahli keluarga lain terkejut apabila melihatnya turut sama menyanyi semalam kerana selama ini, dia hanya membuat gerak mulut saja.

“Satu perkembangan yang baik dan secara peribadi, saya juga tidak sangka video itu mendapat perhatian warganet dan Akim selaku penyanyi asal.

“Terima kasih atas keprihatinan, sokongan dan doa yang diberikan kepada Aufa,” katanya yang menetap di Pasir Gudang, Johor.

Bercerita lanjut, Nurul Anis berkata, dia sudah membawa Aufa Khairy bertemu doktor awal tahun ini untuk pemeriksaan lanjut bagi mengenalpasti punca sebenar anaknya itu lambat bercakap.

Katanya, buat masa ini, doktor belum memberi pengesahan sama ada Aufa Khairy mengalami masalah lambat bercakap kerana perlu menjalani beberapa proses terapi secara berperingkat.

“Selain lambat bercakap, Aufa juga dikhuatiri menghidap autisme tetapi belum ada pengesahan lagi mengenainya.

“Ini kerana menurut doktor, Aufa sepatutnya sudah boleh menghubungkan perkataan pada usia sekarang.

“Ketika diberitahu mengenai perkara itu, saya menangis tetapi cuba positif kerana mahu melihat kelebihannya berbanding kekurangan yang ada,” katanya.

Nurul Anis juga berharap ibu bapa yang mengalami masalah sama supaya tidak berputus asa dan segera bertemu dengan doktor atau pakar berkaitan.

“Jika mendapati ada sesuatu yang tidak kena, bawa segera anak bertemu dengan doktor kerana mereka lebih arif dan profesional.

” Itu yang saya dan suami lakukan, malah sering berkomunikasi dengannya sebagai salah satu bagi mengatasi masalah berkenaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Disember 2019 @ 10:15 PM