KHALID Samad.
Hairulazim Mahmud


PUTRAJAYA: “Saya tiada kontroversi, tiada isu, sebab itu saya dapat undian tertinggi dalam pemilihan,” kata Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah) Khalid Abdul Samad.

Beliau berkata, Pengarah Strategik Amanah Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menurun undiannya kerana isu larangan merokok.

Bagaimanapun, parti mempunyai kaedah tersendiri memilih pucuk pimpinan secara kolektif.

“Pemilihan itu adalah untuk memilih 27 jawatankuasa peringkat nasional dan daripada 27 ini, akan bermesyuarat menentukan presiden dan keputusan kami kekalkan Mohamad Sabu dan (Datuk Seri) Salahuddin Ayub,” katanya.

Beliau bercakap kepada media selepas menyampaikan bantuan persekolahan kepada anak-anak pegawai kumpulan pelaksana Kementerian Wilayah Persekutuan.

Khalid mengulas mengenai keputusan pemilihan parti itu Sabtu lalu yang menyaksikan Mohamad dan Salahuddin masing-masing kekal sebagai Presiden dan Timbalan Presiden Amanah walaupun kedua-dua mereka berada pada kedudukan ketujuh (681 undi) dan ketiga (765 undi).

Sedangkan Khalid menduduki tangga teratas dengan bilangan 786 undi dan jawatankuasa berkenaan tidak memilihnya sebagai presiden parti.

Khalid yang juga Menteri Wilayah Persekutuan berkata, keputusan memilih dua jawatan tertinggi itu diputuskan secara sebulat suara.

“Saya okay, lagipun cara ini dapat mengelakkan perpecahan dan wujud puak dalam parti.

“Kalau pemilihan presiden dilakukan, orang berebut-rebut jawatan nombor satu dan akan wujud ‘cai’ tapi bagi saya pemilihan yang kami lakukan lebih baik dan tidak berpecah macam parti lain,” katanya.

Terdahulu, beliau menyampaikan bantuan persekolahan kepada 150 keluarga yang anak-anak mereka masih bersekolah rendah dan menengah.

Bantuan berkenaan julung kali dibuat oleh Kelab Kebajikan dan Sukan Kementerian Wilayah Persekutuan (KESWIP) bersama Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP).

Bantuan termasuk beg dan peralatan persekolahan bernilai RM50 dan baucar sebanyak RM100, manakala YWP menyediakan baucar sebanyak RM120.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Disember 2019 @ 5:40 AM