BENTENG yang dibina untuk menghalang ombak terhakis dan runtuh akibat angin kencang di Kampung Tanjung Gelam.
Mohd Aizat Shamsuddin


KUALA NERUS: Fenomena ombak besar pada musim tengkujuh terus menghantui dan menimbulkan kebimbangan kepada penduduk Kampung Tanjung Gelam, di sini.

Ini kerana masalah hakisan yang semakin meruncing sehingga menjejaskan struktur rumah dan premis perniagaan yang dibina berhampiran pantai.

Peniaga, Habsah Muda, 55, berkata, walaupun Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) membina benteng batu di depan premis perniagaannya iaitu D’Rumah Pata sejak empat tahun lalu, ombak besar menyebabkan struktur mulai runtuh dan ditelan laut.

“Situasi ombak besar ini menjadi perkara biasa bagi penduduk berhampiran kawasan pantai. Namun tahun ini boleh dikatakan ombak lebih besar sehinggakan hakisan semakin teruk.

“Malah ombak besar yang berlaku ketika air pasang menyebabkan air masuk hingga ke rumah,” katanya.

Katanya, penduduk mengeluarkan perbelanjaan sendiri bagi membina benteng menggunakan kerek perigi namun ombak besar yang melanda menyebabkan struktur itu rosak dan runtuh.

“Kami berharap ada tindakan segera dilakukan JPS untuk membaiki segera struktur benteng batu kerana dibimbangi ombak kuat akan menyebabkan hakisan lebih teruk,” katanya.

Tinjauan di kawasan terbabit mendapati jarak antara pantai dan rumah penduduk tidak kurang daripada 50 meter dan ia menimbulkan kebimbangan mengenai nasib mereka sekiranya hakisan terus berlaku.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Tanjung Gelam, Mohd Zailani Mohamad Rathi berkata, pihaknya sudah memaklumkan perkara itu kepada JPS dan akan mengambil tindakan segera untuk membaiki benteng yang rosak.

“Ada beberapa rumah terjejas disebabkan hakisan ini. Namun ramai penduduk di Kampung Tanjung Gelam ini berpindah ke kawasan selamat apabila rumah mereka sebelum ini ditelan ombak.

“Cuma kami berharap ada tindakan segera daripada JPS untuk membaiki benteng batu supaya kesan hakisan pantai dapat diminimumkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Disember 2019 @ 6:00 AM