PASUKAN penyelamat dari St Johns membantu menyelamatkan mangsa di White Island.

WELLINGTON: Polis New Zealand sedang menyiasat bagaimana kejadian letusan gunung berapi di White Island boleh menyebabkan 13 individu maut, semalam.

Tahap ancaman di gunung berapi terbabit dinaikkan seminggu sebelum kejadian itu berlaku sekali gus menimbulkan persoalan sama ada kumpulan pelancong berkenaan dibenarkan untuk melawat destinasi popular yang terletak di luar pantai utara itu.

Polis New Zealand dalam kenyataan berkata, pihaknya sudah memulakan siasatan terhadap keadaan kematian serta kecederaan dialami mangsa.

Bagaimanapun, siasatan terkini tidak membabitkan siasatan berunsur jenayah sebagaimana kenyataan awal dikeluarkan sebelum ini sebaliknya ia dibuat bagi pihak koroner.

Tiada sebarang alasan diberikan polis New Zealand berhubung tindakan mereka menukar siasatan berkenaan sebagaimana dimaklumkan lebih awal.

Namun, siasatan akan dijalankan selari dengan siasatan oleh Bahagian Keselamatan Pekerjaan
New Zealand.

Menerusi laporan dikeluarkan pihak berkuasa, lima individu disahkan maut manakala lapan lagi yang dilaporkan hilang diandaikan meninggal dunia selepas gunung berapi New Zealand paling aktif meletup ketika kumpulan pelancong melawat lokasi tumpuan pelancong itu.

Sebelum pengumuman mengenai siasatan itu dibuat, Pengerusi White Island Tours, Paul Quinn dalam temu bual dengan TNNZ berkata, pihaknya mengambil tanggungjawab sepenuhnya terhadap soal keselamatan di kawasan berkenaan.

“Kami mengambil panduan menerusi laporan dari GNS Science (GNS) yang memaklumkan tahap aktiviti gunung berapi itu yang berada di paras kedua semalam ketika kejadian berlaku,” katanya.

Menurut Quinn, pihaknya membawa kumpulan pelancong menjelajah gunung berapi itu susulan laporan GNS Science mengenai tahap aktiviti gunung berapi itu yang berada di paras kedua atau merujuk kepada tahap aktiviti sederhana kepada tinggi.

Namun, katanya dua panduan syarikat itu tidak diambil kira selepas letusan berlaku.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Disember 2019 @ 5:40 AM