Muhammad Apendy Issahak dan Muhaamad Hafis Nawawi


KUALA LUMPUR: Sindiket perjudian dalam talian dari China dipercayai memiliki rangkaian jalinan yang cekap hingga menyebabkan mereka mampu beroperasi di beberapa tempat di negara ini tanpa berasa takut dikenakan tindakan.

Ini dibuktikan apabila Bernama melaporkan sekumpulan 40 warga China termasuk dua wanita yang dipercayai melarikan diri dari serbuan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di sebuah bangunan enam tingkat di Jalan Lingkaran Point Cyber Barat, Cyberjaya, pada 20 November lalu ditahan dalam satu serbuan di banglo dua tingkat di Jalan Tun Dr Ismail Ipoh, kelmarin.

Dalam serbuan di Cyberjaya, JIM menahan 680 warga China kerana disyaki terbabit sindiket penipuan dalam talian.

Paling menghairankan, kebanyakan warga China yang ditahan itu tidak memiliki pasport atau menyalahgunakan visa pelancong dengan bekerja di negara ini atau tinggal lebih masa.

Kejadian dua serbuan dalam tempoh tidak sampai sebulan dan didalangi warga sama menunjukkan sindiket perjudian terbabit ada ‘geng’ atau dipayungi pihak tertentu dalam menjalankan operasi.

Berikutan itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) diminta bekerjasama dengan JIM untuk mengesan dalang terbabit sindiket penipuan berkenaan yang dilihat semakin berleluasa sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

Bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan berkata, walaupun ada mangsa mendakwa ditipu tetapi mereka rakyat China dan kejadian berlaku di negara ini.

WARGA China disyaki terbabit dalam aktiviti judi dalam talian yang ditahan di Ipoh.
WARGA China disyaki terbabit dalam aktiviti judi dalam talian yang ditahan di Ipoh.

Katanya, sehubungan itu, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman perlu mengambil tindakan menyiasat dan bekerjasama dengan JIM untuk mengesan dalang sindiket berkenaan.

“Siasatan perlu dijalankan bagaimana mereka buat kegiatan dengan mudah dari satu kawasan ke kawasan lain.

“Malah, mereka masuk ke Malaysia guna pas pelancong dan tinggal lebih masa untuk menjalankan kegiatan itu,” katanya.

Dalam serbuan terbaru di Ipoh, 40 warga China termasuk dua wanita berusia 18 hingga 54 tahun ditahan kerana disyaki terbabit dalam aktiviti perjudian dalam talian yang dipercayai beroperasi sejak dua minggu lalu di bandar raya itu.

Operasi dijalankan 26 pegawai JIM Perak bermula jam 4.30 petang hingga 6.30 petang hasil risikan empat hari di premis yang dipercayai disewa daripada warga tempatan itu.

Pengarah Imigresen Perak, Kamalludin Ismail berkata, 80 telefon bimbit, 31 komputer, tujuh modem Internet tanpa wayar (WiFi), wang tunai pelbagai mata wang, kad bank dan kad kredit serta kad pengenalan negara China turut ditemui.

“JIM Perak membuat pemantauan empat hari di premis yang mempunyai kawalan keselamatan serta hanya boleh dimasuki orang dikenali menggunakan interkom.

“Sepanjang tempoh pemantauan didapati tiada pergerakan keluar dan masuk penghuni premis terbabit. Kami menyerbu masuk dengan memanjat pagar ketika seorang penghuni keluar membuang sampah.

“Ketika diserbu, warga asing berkenaan sedang menjalankan aktiviti dalam talian talian dan pemeriksaan turut menemui kondom yang sudah dan belum digunakan,” katanya pada sidang media semalam.

Kamalludin berkata, pihaknya percaya seorang daripada wanita berusia 24 tahun yang ditahan dijadikan pemuas nafsu kumpulan warga asing di rumah terbabit berdasarkan kondom ditemui manakala seorang lagi bertugas sebagai tukang masak.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Disember 2019 @ 10:00 AM