Gambar hiasan
Fairul Asmaini Mohd Pilus


SEJAK pengenalan program vaksin imunisasi, kadar kes penyakit berjangkit sudah berkurangan di seluruh dunia dan Malaysia juga tidak terkecuali.

Namun, beberapa tahun kebelakangan ini, kes penyakit berjangkit seperti campak muncul semula secara mendadak di beberapa negara seluruh dunia seperti Samoa, Amerika Syarikat, Ukraine, Costa Rica dan terbaru Filipina.

Ia dikatakan berpunca daripada pelbagai faktor, namun ramai yang menuding jari kepada golongan atau gerakan anti-vaksin dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) turut mengenalpasti penolakan vaksin sebagai satu daripada ancaman kesihatan global bagi tahun 2019.

Ketua Sektor Pakar Perubatan Kesihatan Awam (PPKA) , Bahagian Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan (KKM), Dr Wan Noraini Wan Mohamed Noor berkata, jenis penyakit berjangkit boleh dikelaskan kepada pelbagai pemahaman, namun secara asasnya ia dibahagikan kepada cara jangkitan, bagaimana ia menular dan organisma penyebab.

Katanya, penyakit berjangkit yang muncul semula jika dalam konteks Malaysia adalah tertumpu kepada penyakit anjing gila (Rabies), Difteria, Polio dan campak.

“Ia muncul semula disebabkan ada gangguan kepada program imunisasi yang dilaksanakan oleh kerajaan terutama kehadiran golongan anti vaksin.

“Difteria misalnya sudah berjaya dikawal sepenuhnya sebelum ini tetapi ia muncul semula di Johor pada Februari lalu kerana ada ibu bapa yang tidak memberikan imunisasi kepada anak mereka,” katanya.

Menurut Dr Wan Noraini lagi, terdapat beberapa faktor yang dipercayai menjadi punca mengapa penyakit berjangkit muncul semula antaranya disebabkan penolakan vaksin; kesan migrasi dan proses kemodenan; penerokaan kawasan tanah baharu; globalisasi perdagangan, makanan; kehadiran pelancong ; perubahan gaya hidup dan kerentangan kepada antibiotik.

Kata beliau, dalam berdepan sesuatu penyakit, semua negara mengguna pakai Regulasi Kesihatan Antarabangsa (IHR 2005), garis panduan yang ditetapkan oleh WHO dan bagi negara di rantau Asia Pasifik, ada rangka kerja tambahan yang diikuti iaitu Asia Pacific Strategy for Emerging Diseases (APSED) yang kemudian disemak menjadi APSED III.

“Selain itu, Malaysia turut menggunakan rangka kerja Malaysia Strategic Workplan for Emerging Diseases (MySED dan (MySED) II.

“Menerusinya terdapat lapan teras utama iaitu Kesiapsiagaan Kecemasan Kesihatan Awam; Tinjauan, Penilaian Risiko dan Respon; Makmal; Penyakit Bawaan Haiwan; Pencegahan dalam Penjagaan Kesihatan; Komunikasi Risiko; Kesiapsiagaan Amaran dan Respon Serantau serta Kawalan dan Regulasi,” katanya.

Dalam pada itu, Program Imunisasi Kebangsaan yang diperkenalkan kerajaan sejak tahun 1950-an mampu mencegah 12 jenis penyakit yang disebabkan oleh bakteria dan virus tertentu.

Menerusi program berkenaan, imunisasi diberikan secara percuma kepada bayi dan kanak-kanak warganegara di klinik–klinik kerajaan.

Keberkesanan program imunisasi terbukti apabila Malaysia berjaya menurunkan kadar kematian kanak-kanak sebanyak 85 peratus bagi tempoh 1970 hingga 2017, daripada 55.9 kematian bagi setiap 1,000 kelahiran hidup kepada hanya 8.4 kematian bagi setiap 1,000 kelahiran hidup.

Antara vaksin yang diberikan adalah BCG bagi memberi perlindungan terhadap jangkitan Tuberkulosis, DTap iaitu kombinasi vaksin yang memberi perlindungan terhadap Difteria, Tetanus dan Pertusis serta DT, dos booster yang memberi perlindungan terhadap Difteria dan Tetanus.

Klinik kerajaan juga menyediakan vaksin Hib iaitu Haemophilus Influenzae type B, MMR untuk jangkitan campak, beguk dan Rubella serta MR iaitu dos booster yang memberi perlindungan campak dan Rubella.

Bagi bayi atau kanak-kanak di Sarawak pula, vaksin tambahan JE (Japanese Encephalitis) turut diberikan manakala untuk remaja perempuan 13 tahun, vaksin Human Papillomavirus (HPV ) sebanyak dua dos diberikan dalam tempoh enam bulan daripada dos pertama.

Antara negara yang turut diancam kemunculan semula penyakit berjangkit:

Filipina

Seramai 136 orang, kebanyakannya kanak-kanak, meninggal dunia akibat campak dan 8,400 yang lain sakit akibat wabak penyakit itu.

Antara penyebab peningkatan penularan ini disebabkan ketakutan rakyatnya mengambil suntikan vaksin baru-baru ini.

Thailand

Thailand melaporkan ribuan kes chikungunya di selatan negaranya tahun lalu dan hanya dalam dua minggu pertama tahun 2019, sebanyak 447 kes dilaporkan dari 12 wilayah, kebanyakannya dari Phuket, Songkla dan wilayah Pattani.

Peningkatan penyakit itu juga menyebabkan pelancong dari negara lain dinasihatkan untuk mengambil vaksin pelancongan hanya untuk melancong ke negara gajah putih itu.

Amerika Syarikat

Walaupun penyakit demam campak sudah diisytiharkan hapus di Amerika Syarikat pada tahun 2000, namun baru-baru ini, negara berkenaan mengeluarkan amaran penyakit demam campak di daerah Washington, Oregon, dan New York.

Pusat Kawalan Penyakit Amerika Syarikat juga mengesahkan lebih 100 individu dijangkiti demam campak di negara itu dan separuh daripadanya dilapor dikesan di Washington.

Samoa

Kerajaan Samoan mengisytiharkan darurat selepas penularan wabak demam campak dan mengambil langkah mengenakan tindakan perintah berkurung untuk memudahkan usaha memberi pelalian wajib kepada rakyatnya yang belum diberi suntikan.

Dianggarkan lebih daripada 70 jumlah kematian yang dilaporkan dan 61 daripadanya adalah kanak-kanak berusia empat tahun.

Sehingga 8 Disember, kira-kira 90 peratus daripada semua orang yang berkelayakan di Samoa sudah diberikan vaksin untuk mencegah wabak demam campak tersebut.

Costa Rica

Seorang kanak-kanak lelaki Perancis dilaporkan terkena demam campak, sekali gus merekodkan kembali penularan penyakit terbabit di Costa Rica selepas negara Amerika Tengah itu diisytiharkan bebas daripada penyakit berkenaan sejak lima tahun yang lalu.

Ukraine

Lapan orang dilaporkan maut akibat wabak campak di Ukraine baru-baru ini dan seramai lebih 3,100 turut dijangkiti demam itu pada awal bulan Februari menurut laporan Associated Press.

Data itu menunjukkan peningkatan berbanding tahun lalu, yang mana 53,000 orang mengidap penyakit berkenaan.

Senarai penyakit berjangkit yang muncul semula di Malaysia:

1) Polio

Polio atau poliomyelitis adalah akibat jangkitan virus polio yang merosakkan sistem saraf pusat. Virus polio lazimnya menjangkiti kanak-kanak bawah 5 tahun yang belum mendapat pelalian dan ia juga boleh menjangkiti orang dewasa.

Pesakit boleh menjadi lumpuh sekiranya virus ini menyerang sistem saraf pusat. Selain itu, pesakit juga mengalami sakit otot dan kaku di bahagian leher dan belakang.

Lumpuh biasanya tidak simetri (bukan pada kedua-dua belah anggota) dan pesakit mengalami demam sebelum lumpuh peringkat awal. Kaki lebih kerap terjejas berbanding tangan.

2) Measles atau campak

Disebabkan virus paramyxovirus, berjangkit melalui udara iaitu apabila bernafas dengan udara yang mengandungi kahak, air liur dan hingus pesakit campak dalam lingkungan satu meter atau tersentuh dengan cecair badan pesakit.

Kanak-kanak paling kerap mengalami demam campak kerana virus ini senang berjangkit, manakala untuk orang dewasa, ia juga boleh berjangkit melalui hubungan kelamin.

Boleh mengakibatkan jangkitan yang membawa maut jika kuman menyerang paru-paru dan jangkitan pada otak.

3) Difteria

Difteria adalah jangkitan bakteria yang berpunca daripada Corynebacterium difteria (C.difteria).

Penyakit saluran pernafasan pada bahagian atas dengan ciri-ciri perit pada leher, demam sedikit dan selaput (pseudomembrane) pada tonsils, pharynx, rongga hidung.

Tanda-tanda ialah sakit tekak dan demam secara tiba-tiba disertai tumbuhan membran kelabu melitupi tonsil serta bahagian saluran pernafasan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Disember 2019 @ 4:32 PM