Amirul Haswendy Ashari


TIADA ibu bapa yang sanggup melihat anak yang dibelai dengan penuh kasih sayang menderita.

Apatah lagi penderitaan terpaksa ditanggung si anak adalah penyakit yang boleh membawa maut jika tidak dirawati segera.

Itu nasib menimpa keluarga Idaruzi Samsudin, 46, dan isteri, Nor Azizah Said, 43, dari Kampung Sungai Sireh Tambahan Dua, Pelabuhan Klang apabila diduga dengan kesihatan anak sulung mereka, Alliya Rumaiesyah, 12, yang disahkan menghidap kanser otak sejak berusia empat tahun.

Kisah anak sulung daripada enam beradik pernah dilaporkan Harian Metro 18 Ogos 2012 apabila pasangan ini buntu mencari sumber kewangan menampung kos pembedahan Alliya.

Malang bagaikan datang bertimpa, Idaruzi kini disahkan menghidap pelbagai penyakit, antaranya masalah jantung, darah tinggi, kencing manis, gout dan asma, isterinya pula disahkan sebagai orang kurang upaya (OKU) fizikal selepas terbabit dalam kebakaran ketika berusia tujuh tahun.

“Waktu itu saya betul-betul buntu sehinggakan terpaksa meminta sedekah, berhutang dengan along, pinjam duit saudara-mara, kawan malah menggadaikan barang kemas isteri serta barangan dalam rumah.

“Saya turut diminta berhenti kerja oleh majikan sebab sering mengambil cuti sehingga menjejaskan prestasi kerja,” katanya pernah berkhidmat sebagai pengawal keselamatan selama tujuh tahun sebelum membuat keputusan berhenti kerja demi menjaga anak.

Walaupun sebahagian besar ketumbuhan dalam otak berjaya dibuang melalui pembedahan dan rawatan radioterapi yang menelan kos RM8,000 pada 2013, kesihatan Alliya kembali terjejas sejak beberapa tahun lalu selepas doktor mengesahkan sel kanser kembali menyerang.

Alliya juga pernah menderita masalah apendiks pecah sehingga bertarung nyawa ketika berusia sembilan tahun.

Disebabkan itu, Idaruzi dan isteri terpaksa mencari dana untuk mengumpul kos rawatan baru ke Hospital Sungai Buloh dan Hospital Besar Kuala Lumpur.

“Perbelanjaan kami banyak habis kepada ulang alik menaiki kereta pemberian adik untuk ke hospital setiap bulan.

“Sekali pergi dan balik lebih kurang RM200 yang dibelanjakan. Kadang-kala kami tidak dapat pergi sebab tiada duit.

“Sejak berhenti kerja dan mengalami pelbagai penyakit, saya hanya mampu mengambil upah memotong rumput, kerja pendawaian dan memancing ikan dan udang untuk dijual.

“Isteri pula membantu dengan berniaga kecil-kecilan di depan rumah, selain mengusahakan kerepek serta kuih-muih dengan pendapatan keseluruhan hampir RM800 sebulan,” katanya.

Selain itu, mereka turut mendapat bantuan daripada Zakat Selangor sebanyak RM650 sebulan, manakala Azizah menerima bantuan kewangan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM400 sebulan.

Dengan wang sumbangan dan pendapatan diperoleh, ia digunakan untuk perbelanjaan rumah, persekolahan anak selain menampung kos rawatan Alliya.

Idaruzi akui ada segelintir masyarakat menganggap dia hanya menumpang ‘malang si anak’ yang mendapat simpati orang ramai.

“Ada yang kata, saya nampak sihat dan sepatutnya berusaha cari kerja meringankan beban keluarga.

“Ya, luaran saya nampak sihat tapi mereka tidak nampak kesakitan saya yang juga bergantung dengan pelbagai jenis ubat,” katanya.

“Saya berusaha buat macam-macam kerja untuk keluarga tetapi keadaan kesihatan membataskan saya membuat kerja berat,” katanya.

Jauh dalam sudut hati, Idaruzi hanya mahu membahagiakan anak sulungnya itu yang cukup istimewa di mata keluarga.

Apatah lagi, walaupun Alliya mengidap kanser otak, anak ini sangat bijak dalam mengurus hal rumah selain membantu menjaga adiknya yang bersekolah.

Malah Alliya juga disifatkan pelajar yang aktif dan ceria di sekolah kerana sering mewakili sekolah ke pertandingan hafazan al-Quran dan kokurikulum lain.

Pembaca boleh menyalurkan sumbangan melalui akaun Affin Islamic Bank 105280004378 atas nama Media Prima-NSTP Humanitarian Fund (Metro Prihatin) atau cek kepada Jabatan Komunikasi Korporat Kumpulan Media Prima Berhad di Balai Berita, Bangsar.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Disember 2019 @ 5:40 AM
ALLIYA Rumaiesyah (tengah) bersama bapa Idaruzi dan ibu, Nor Azizah serta adik-beradik ketika temu bual di Kampung Sungai Sireh, Klang.