RUMAH dua beradik OKU musnah sepenuhnya. FOTO Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi.
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


“SEBAIK mengetahui tok (nenek) saudara terperangkap, saya cuba masuk ke dalam rumah melalui dapur dan terdengar jeritan seseorang.

“Namun saya gagal menemuinya kerana api marak dan bahang yang panas,” kata Nazri Musa, 24, menceritakan kebakaran pada awal pagi tadi yang meragut nyawa dua nenek saudaranya.

Dalam insiden di Kampung Sungai Betul Bawah, Tanjung Piandang, Kuala Kurau, Parit Buntar itu, Aisyah Din, 80, dan adiknya Ida, 56, meninggal dunia dengan mayat masing-masing ditemui dekat pintu utama rumah.

Nazri berkata, kejadian disedari pada 1.45 pagi dan dia yang tinggal berhampiran rumah arwah cuba untuk menyelamatkan mereka bersama penduduk kampung yang lain tetapi gagal.

“Pada awalnya saya cuba pecahkan pintu utama, namun pintu gril luar dan pintu dalam, berkunci sebelum saya ke bahagian dapur pula untuk menyelamatkan mangsa.

“Ketika itu sudah kedengaran suara mangsa, malangnya saya gagal menemui mereka kerana asap terlalu tebal dan api sangat marak. Saya sempat naik ke tingkat atas kerana menyangka mereka di atas, tetapi tiada,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Dia terkilan tidak dapat menyelamatkan dua beradik itu dan tragedi berkenaan memberi kesan mendalam kepadanya.

“Trauma tetap ada kerana 10 tahun yang lalu, rumah saya pernah terbakar dan kali ini nenek saudaranya pula yang menjadi korban kebakaran,” katanya.

Anak saudara mangsa, Shahana Din, 45, berkata, dia tiba awal di lokasi kejadian dan masih terbayang keadaan api yang marak membakar keseluruhan rumah berkenaan.

Katanya, kedua-dua mereka tinggal bersebelahan rumahnya.

“Dalam suasana panik itu jelas kedengaran jeritan meminta pertolongan dan saya yakin mereka juga cuba menyelamatkan diri dan mahu keluar melalui pintu utama.

“Terkilan sungguh saya kerana gagal selamatkan mereka. Masih terngiang jeritan mereka di telinga saya,” katanya.

Shahana berkata, arwah Aishah hanya mampu berjalan menggunakan tongkat, manakala Ida pula adalah Orang Kelainan Upaya (OKU) yang mempunyai ketumbuhan di kepala, tidak mampu melihat dengan jelas dan pergerakan terbatas.

Menurutnya, mayat kedua-duanya berada di Unit Forensik Hospital Parit Buntar untuk dibedah siasat dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Surau Parit Lintang, petang ini.

Berita berkaitan

Dua beradik OKU meninggal dalam kebakaran

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Disember 2019 @ 10:10 AM