Lor diselamatkan bomba selepas kereta dipandunya terperangkap dalam banjir. FOTO Ihsan JBPM
Mary Victoria Dass


“SAYA terpaksa berpaut di kereta hampir dua jam apabila kenderaan dinaiki terperangkap dalam banjir,” kata

Lor Wei Keong, 43.

Lor berkata, kejadian berlaku pada 5.15 pagi tadi ketika dia dalam perjalanan dari Johor Bahru ke Kuantan, Pahang atas urusan kerja.

Lor yang juga jurutera berkata, apabila tiba di Batu 13, Jalan Kota Tinggi-Mersing, dia dapati sebahagian laluan dinaiki air.

Menurutnya, dia yang memandu kenderaan pacuan empat roda Ford Rangers mengambil keputusan meredah banjir.

“Ketika itu air di bawah paras tayar menyebabkan saya yakin mampu melepasi laluan berkenaan.

“Malangnya kenderaan terperangkap dan air ketika itu agak deras serta semakin tinggi.

“Saya membuka tingkap pintu sebelah pemandu dan cuba memanjat keluar ke bumbung, tidak lama kemudian enjin kenderaan mati,” katanya.

Lor berkata, dia hanya mampu berpaut di bahagian tingkap dan bumbung kereta.

Menurutnya, tubuhnya dari paras dada ke pinggang turut dibasahi air.

Katanya, pengguna jalan raya yang prihatin menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat.

“Saya berpaut hampir dua jam sebelum bomba tiba.

“Saya tidak tahu apa yang akan berlaku jika mereka tak datang menyelamatkan saya.

“Hanya Tuhan mampu membalas jasa baik mereka dan kejadian ini tak akan saya lupakan,” katanya yang membatalkan perjalanan ke Kuantan dan pulang ke Johor Bahru.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Johor berkata, anggota Bomba dari Bilik Gerakan Operasi Banjir Johor menjalankan operasi menyelamatkan mangsa yang

terperangkap dalam banjir.

“Mangsa diselamatkan 7.30 pagi hari ini menerusi Bot Amfibia membabitkan lima anggota Pasukan Penyelamatan Di Air (PPDA).

“Operasi ditamatkan 8.30 pagi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Disember 2019 @ 12:19 PM