Nurul Hidayah Bahaudin


KERETA Perodua Myvi dinaiki lima mangsa yang maut dalam kemalangan di Kilometer 427.5 Lebuhraya Utara Selatan, di Kuala Kubu Bharu, hari ini, berkonvoi bersama dua lagi kenderaan.

Dalam kejadian 4 pagi itu, pemandu kereta Perodua Myvi, Mohamad Rodzi Abdul Kadir, 52, serta empat penumpang kenderaan itu iaitu Jamilah Jalim @Jamil, 47, Bashirah [email protected], 49, Nur Intan Mohamad Rodzi, 18, dan Nur Shifa Abdul Rashid, 17, disahkan meninggal dunia di lokasi.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Superintendan Azman Ab Rahman berkata, kereta berkenaan dipercayai dalam perjalanan dari Kedah menuju ke Shah Alam untuk menghadiri kenduri aqiqah anak kepada Jamilah.

“Difahamkan kereta dinaiki lima mangsa itu dari Kedah menuju ke Shah Alam berkonvoi bersama dua lagi kenderaan. Ketika kejadian, berlaku kemalangan membabitkan sebuah lori yang terbalik pada jarak kira-kira 3.5 kilometer dari lokasi kejadian.

“Kemalangan lori terbalik itu menyebabkan trafik perlahan di lokasi. Difahamkan dua kenderaan yang berkonvoi bersama kereta Myvi berkenaan sudah melepasi laluan kemalangan itu.

“Manakala kereta dinaiki lima mangsa terbabit yang berada di lorong kiri melanggar bahagian belakang sebuah lori membawa muatan buah yang sedang bergerak perlahan,” katanya ketika ditemui di Unit Perubatan Forensik Hospital Kuala Kubu Bharu, hari ini.

LIMA maut dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 427.5 Lebuhraya Utara Selatan, dekat Kuala Kubu Bharu, hari ini. FOTO Ihsan PDRM
LIMA maut dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 427.5 Lebuhraya Utara Selatan, dekat Kuala Kubu Bharu, hari ini. FOTO Ihsan PDRM

Azman berkata, mereka yang meninggal dunia adalah lima sekeluarga membabitkan pesara tentera, Mohamad Rodzi dan isterinya, Jamilah bersama anaknya, Nur Intan.

“Dua lagi mangsa yang meninggal adalah kakak ipar kepada Mohamad Rodzi, Bashirah dan anaknya Nur Shifa.

“Difahamkan urusan pengebumian kelima-lima mangsa akan dilakukan pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) termasuk membawa balik jenazah ke Yan, Kedah, untuk dikebumikan,” katanya.

Katanya, punca sebenar kemalangan masih dalam siasatan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Hafisham Mohd Noor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu 4.40 pagi tadi.

“Seramai 11 pegawai dan anggota bersama satu jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Sentosa dikejarkan ke lokasi.

“Sebaik tiba, kami mendapati kemalangan membabitkan kereta Perodua Myvi dan sebuah lori. Pemandu dan penumpang hadapan didapati tersepit di tempat duduk masing-masing sebelum berjaya dikeluarkan beberapa minit kemudian,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Katanya, tiga penumpang belakang yang tidak tersepit turut dikeluarkan pihak bomba.

“Semua mangsa yang disahkan meninggal dunia di lokasi diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan lima maut selepas kereta dinaiki mereka melanggar bahagian belakang sebuah lori membawa muatan buah.

Berita berkaitan

Lima maut nahas dua kenderaan

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Disember 2019 @ 1:31 PM