PENGERUSI Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Hee Loy Sian (kanan) melihat saluran pembetungan yang  tercemar di Bandar Bukit Mahkota, Bangi, semalam. FOTO Azhar Ramli
PENGERUSI Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Hee Loy Sian (kanan) melihat saluran pembetungan yang tercemar di Bandar Bukit Mahkota, Bangi, semalam. FOTO Azhar Ramli
Nur Lela Zulkipli


LIMPAHAN minyak kehitaman dikesan pada satu daripada pembetung dalam jaringan sistem pembetungan di Bandar Bukit Mahkota.

Ia susulan siasatan yang dijalankan terhadap sistem berkenaan ekoran pencemaran air Sungai Semenyih yang menyebabkan dua Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi terpaksa dihenti tugas.

Lembaga Urus Air Selangor (Luas) dalam satu kenyataan berkata, selepas mengesan pencemaran berpunca daripada loji rawatan kumbahan (LRK) Indah Water Konsortium (IWK) Bukit Mahkota, pihak berkenaan menghentikan pelepasan air serta melaksanakan rawatan menggunakan hidrogen peroksida kristal (CHP) pada jam 1 tengah hari kelmarin.

Foto hiasan
Foto hiasan

Katanya, selepas mengesan pencemaran di satu pembetung di Bandar Bukit Mahkota pula, kerja pembersihan dijalankan.

“Kerja pembersihan dan penyedutan bahan yang disyaki sisa bahan terjadual itu mula dilakukan pada jam 4 petang oleh pihak IWK, menggunakan dua lori tangki berkapasiti lima meter padu.

“Menteri Besar Selangor (Datuk Seri Amirudin Shari) juga mengarahkan intervensi segera pihak IWK untuk meneruskan kerja pembersihan dan penyedutan sisa itu supaya implikasi pencemaran dikurangkan dan bekalan air terawat disalurkan semula dengan kadar segera.

Activated carbon juga disediakan oleh Luas dalam keadaan siap siaga sekiranya diperlukan di takat pelepasan akhir LRK ke sungai,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Kenyataan sama berkata, pemantauan dan pensampelan dijalankan di Sungai Beranang dan sekitar Persiaran Mahkota 2 dan sehingga jam 12.30 tengah malam tadi, bau sebanyak 3 ton masih dikesan di Sungai Beranang, selepas LRK terbabit manakala bau sebanyak 2 ton masih dikesan di muka sauk loji di Jenderam Hilir.

Katanya, Luas dan semua pihak terbabit berusaha menangani insiden berkenaan dengan segera serta mengenal pasti dalang kejadian itu.

KETUA Penolong Pengarah Lembaga Urus Air Selangor, Nor Zamri Sondor (kanan) memberi taklimat kawasan pencemaran kepada  Hee. FOTO Azhar Ramli
KETUA Penolong Pengarah Lembaga Urus Air Selangor, Nor Zamri Sondor (kanan) memberi taklimat kawasan pencemaran kepada Hee. FOTO Azhar Ramli

Bergilir dengan anak tadah bekalan air

Penduduk kesal ada pihak mengambil jalan mudah membuang sisa kimia sehingga menyebabkan pencemaran air kembali berulang.

Mohd Fadzil Muskam, 46, berkata, tindakan sedemikian menyebabkan masalah kepada banyak pihak khususnya mereka yang berkeluarga kerana terpaksa menunggu lori tangki untuk mendapatkan bekalan air.

Beliau yang menetap di Kampung Rinching Hilir berkata, bekalan air yang dibawa lori sejak pagi tidak mencukupi kerana penduduk kampung berpusu-pusu mendapatkan bekalan.

“Saya sudah tunggu lori air sejak jam 11 pagi dan terpaksa bergilir dengan anak untuk memastikan kami tidak terlepas jika bantuan air tiba.

MINYAK kehitaman dalam sistem pembetungan IWK mengakibatkan arahan henti tugas di dua Loji Rawatan Air Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi. FOTO Azhar Ramli
MINYAK kehitaman dalam sistem pembetungan IWK mengakibatkan arahan henti tugas di dua Loji Rawatan Air Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi. FOTO Azhar Ramli

“Rumah yang jauh dari jalan utama menyebabkan kami perlu berulang-alik mendapatkan bekalan sejak air terputus semalam (kelmarin),” katanya.

Pesara, Johari Yusoff, 56, sudah tiba masanya pasukan penguatkuasaan menggiatkan operasi untuk memastikan tiada pihak sewenang-wenangnya membuang sisa kimia.

Katanya, jika masalah ini berlarutan, ia sudah pasti membantutkan aktiviti seharian masyarakat setempat.

“Masalah sama udah berulang kali berlaku dan seakan-akan tiada penyelesaian jangka panjang. Penduduk harap tiada lagi masalah ini pada masa akan datang.

“Pihak industri juga perlu lebih bertanggungjawab untuk pastikan kontraktor yang dipilih melupuskan sisa kimia mengikut prosedur pelupusan ditetapkan kerajaan,” katanya. - Ekhwan Haque Fazlul Haque

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Disember 2019 @ 6:45 AM