AKSI Muhamad Firdaus dan Siti Fatimah ketika sesi fotografi perkahwinan mereka di gelanggang tenis, Ahad lalu. FOTO ihsan Mohammad Amirul Fiyyaz Mohamed Bashir dan Muhamad Firdaus Ibrahim.
Redzuan Muharam


“SAYA menawarkan diri untuk mengambil gambar mereka tanpa sebarang bayaran.

“Niat saya (mengambil gambar ) untuk menimba pengalaman memandangkan belum pernah mengambil gambar perkahwinan orang kurang upaya (OKU), sebelum ini,” kata jurugambar sambilan, Mohammad Amirul Fiyyaz Mohamed Bashir.

Mohammad Amirul, 21, memberi reaksi itu ketika ditanya alasannya menawarkan khidmat mengambil gambar percuma kepada atlet tenis paralimpik negara, Muhamad Firdaus Ibrahim, 23, dan isterinya Siti Fatimah Mohd Nor, 25 di Bagai Serai, Perak pada Ahad lalu.

Mohammad Amirul berkata, dia tidak mengenali rapat Muhamad Firdaus dan hanya mengetahui kisah atlet berkenaan dan isterinya di Twitter.

Katanya, kisah mereka berdua membuatkannya tertarik untuk menawarkan diri menjadi jurugambar ketika majlis persandingan dan sesi fotografi luar tanpa mengambil sebarang bayaran.

ANTARA gambar menarik Muhamad Firdaus dan Siti Fatimah ketika sesi fotografi perkahwinan mereka. FOTO ihsan Mohammad Amirul Fiyyaz Mohamed Bashir dan Muhamad Firdaus Ibrahim.

“Saya baru aktif semula sebagai jurugambar perkahwinan sejak tujuh bulan lalu selepas sekian lama berehat kerana memberi tumpuan kepada pelajaran.

“Sekalipun berpengalaman menjadi jurugambar perkahwinan, saya belum pernah mengambil gambar OKU dan keinginan itu mendorong saya menawarkan khidmat percuma kepada Muhamad Firdaus.

“Memandangkan kami tidak mengenali satu sama lain, saya cuba berhubung dengannya dengan menghantar kiriman mesej di Twitter dan Alhamdulillah, dia bersetuju.

“Namun, saya tidak tahu dia (Muhamad Firdaus) adalah seorang atlet sewaktu menyatakan persetujuan untuk menjadi jurugambar perkahwinannya sehingga melihat gambarnya di Instagram (IG),” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Mohamad Amirul berkata, sesi fotografi itu jadi bertambah menarik kerana diadakan di gelanggang tenis bagi memenuhi permintaan Muhamad Firdaus yang mahukan konsep dekat dengan kerjayanya sebagai atlet.

“Saya pernah mengambil gambar OKU, tetapi secara rawak ketika berada di jalanan dan ini kali pertama saya melakukannya untuk majlis perkahwinan.

“Jujurnya, saya kagum melihat semangat Muhamad Firdaus ketika melakukan aksi bermain tenis untuk mendapatkan gambar menarik sekalipun duduk di kerusi roda.

“Bagi saya, dia seorang yang unik dan gembira dapat merealisasikan impiannya yang mahukan gambar perkahwinan dengan konsep sebegitu,” katanya.

Sementara itu, Muhamad Firdaus mengakui berbesar hati atas kesudian Mohammad Amirul mengambil gambar perkahwinannya secara percuma.

“Saya sudah lama berhasrat untuk mengambil gambar perkahwinan dengan konsep sebegini kerana mahukan kelainan memandangkan tidak pernah melihat pasangan lain melakukannya.

“Jika ada sekalipun mungkin di luar negara dan lebih menggembirakan apabila isteri turut menyambut baik idea itu.

“Terima kasih atas kesudian beliau mengambil gambar kami secara percuma dan saya amat menghargainya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Disember 2019 @ 10:07 PM