AIR zamzam dijual dengan harga RM45 untuk 1.5 liter, 10 liter RM170, RM110 lima liter dan RM15 botol kecil 500 mililiter.
AIR zamzam dijual dengan harga RM45 untuk 1.5 liter, 10 liter RM170, RM110 lima liter dan RM15 botol kecil 500 mililiter.
Amir Abd Hamid


MASIH ada peniaga yang menjual air zamzam di pasaran walaupun Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Isnin lalu mengeluarkan kenyataan bahawa air itu tidak boleh dijual.

Tinjauan Harian Metro di sebuah kios di ibu negara mendapati air zamzam dijual pada harga RM45 untuk 1.5 liter, 10 liter RM170, RM110 lima liter dan RM15 botol kecil 500 mililiter.

Seorang wanita 30-an yang mendakwa pekerja di kios itu berkata, penjualan tong besar 10 liter dilakukan secara sorok-sorok sebab isu air zamzam sedang panas ketika ini.

“Saya pun bekerja saja di sini, tak tahu di mana alamat pembekal itu. Biasa ada Pak Arab hantar bekalan. Kami kena sorok sebab sekarang tengah panas mengenai air zamzam.

“Tong besar diletakkan di bawah meja tak dipamerkan, kami hanya tunjukkan sekiranya pelanggan mahu membelinya. Sebenarnya RM180, tetapi boleh kurang kepada RM170. Ada yang jual lebih mahal daripada harga kami,” katanya.

Sementara itu, seorang pekerja warga Bangladesh di premis pemborong bekalan makanan di Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini, berkata, sekarang susah mendapat bekalan air zamzam.

Menurutnya, stok yang ada di premis itu pun hanya ada lima kotak berisi botol besar kandungan 10 liter berharga RM120 dan tiada botol saiz lain yang dijual.

Harian Metro turut menjalankan tinjauan pendapat orang ramai dan mereka bersetuju dengan larangan berkenaan.

Eksekutif Teknologi Maklumat Johan Japar, 37, berkata, Arab Saudi mengharamkan terlebih dulu penjualan air zamzam.

“Mufti tempatan juga mengeluarkan pandangan sehaluan dengan arahan larangan penjualan air zamzam selain KKM.

“Ini menunjukkan tiada pengesahan tempat penjualan air zamzam di negara ini dan senario itu dibimbangi menyebabkan berlakunya penyelewengan,” katanya.

Terdahulu, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dilaporkan berkata, air zamzam dikategorikan sebagai air mineral semula jadi dan termaktub mengikut Peraturan 360A, Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

“Pengimportan air mineral semula jadi memerlukan lesen punca air KKM selepas mendapat pengesahan pihak berkuasa geologi dan hidrologi dari negara pengeksport,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 January 2020 @ 6:25 AM